|
Anggota bomba menjalankan siasatan di lima buah premis menjual motosikal terpakai, alat ganti dan stor yang musnah dalam kebakaran di Kampung Manal, Tanah Merah, Kelantan hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI/ KOSMO!
TANAH MERAH – Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian lebih RM5 juta apabila lima buah premis miliknya yang menjual motosikal terpakai, alat ganti dan stor musnah dalam kebakaran di Kampung Manal, Jalan Jedok di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, 12 orang pekerja di premis terbabit sempat menyelamatkan 40 daripada 48 buah motosikal terpakai selepas menyedari ada kebakaran tercetus dari bahagian stor.
Ahli perniagaan itu, Teo Shi Jie, 27, berkata, dia tiada di kedai semasa kejadian kerana masih berada di rumahnya di Kampung Belimbing di sini sebelum menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang pekerjanya kira-kira pukul 9.45 pagi.
Menurutnya, dia terus bergegas ke kedainya sebelum mendapati api sudah merebak dan menjilat semua bahagian premis.
“Pekerja saya memaklumkan bahawa kebakaran itu bermula dari sebuah stor yang menempatkan kotak-kotak dan alat ganti motosikal. Melihat api mula marak, mereka terus mengeluarkan 40 buah motosikal terpakai dari premis,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Shi Jie memberitahu, pekerjanya sempat mengambil alat pemadam api, namun gagal memadam kebakaran kerana api merebak terlalu cepat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon II Kelantan, Penguasa Bomba Mohd. Sham Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9.36 pagi sebelum seramai 31 orang anggota bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, bomba pada awalnya mengalami masalah bekalan air, tetapi ia berjaya diatasi sebelum mengambil masa kira-kira 40 minit untuk memadam kebakaran dan pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... lat-ganti-terbakar/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|