|
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan cermin depan MPV polis yang pecah selepas ditembak penjenayah di Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu semalam. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!
KOTA BHARU – Salah seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Panji di sini bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah kereta unit peronda polis (MPV) selepas kegiatan kumpulannya dihidu anggota polis semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, suspek yang berada di tempat duduk penumpang depan kereta jenis Perodua Viva menembak bahagian cermin MPV jenis Proton Preve semasa tiba di Jalan Raja Perempuan Zainab 2, bersebelahan SK Demit di sini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang memaklumkan rumahnya di Panji di sini dipecah masuk.
Menurutnya, selepas menerima aduan itu, anggota polis bersama unit MPV kemudiannya menjumpai sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 3.30 pagi.
“Anggota polis kemudiannya mengekori dan mengejar kereta tersebut sehingga ke Jalan Raja Perempuan Zainab 2, bersebelahan SK Demit.
“Semasa tiba di kawasan itu, salah seorang suspek yang berada di dalam kereta itu dilihat mengeluarkan sepucuk pistol sebelum melepaskan satu das tembakan yang terkena pada cermin depan sebelah kanan MPV,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan,di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, kereta dinaiki suspek dilihat terus dipandu laju ke arah Kubang Kerian.
Menurutnya, siasatan lanjut kemudiannya berjaya menemui kereta tersebut di Taman Desa Rahmat, Kubang Kerian, namun kesemua suspek sudah melarikan diri.
“Polis sedang giat memburu suspek yang terlibat dalam kejadian pecah rumah dan melepaskan tembakan itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang terlibat diminta untuk menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-745 5555,” katanya.
Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... -ke-arah-mpv-polis/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|