Sungai Petani: Dua daripada empat lori hangus dalam kebakaran rumah kedai di Kampung Baru, Bedong.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani Mohd Zaki Senik berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran pada 6.36 pagi.
Sepasukan anggota BBP Sungai Petani dihantar ke lokasi dengan dibantu BBP Aman Jaya serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
"Setibanya anggota bomba di tempat kejadian, sebuah rumah kedai kelas B terbakar dan kebakaran itu turut membabitkan empat lori.
"Anggaran kebakaran rumah kedai itu 20 peratus, manakala dua lori musnah sementara dua lori lagi masing-masing terbakar 40 dan 20 peratus," katanya.
Tiada mangsa dilaporkan berada di lokasi kejadian dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.