Gambar hiasan
KUCHING: Kira-kira 99,145 atau bersamaan 5.1 peratus warga Sarawak telah mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat 11 Januari 2024.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sarawak berkata bagi penduduk Sarawak, mereka boleh hadir ke kaunter PADU yang dibuka di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) dan juga Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak yang berhampiran mulai 2 Januari 2024.
“Info terkini berkaitan PADU boleh dilayari melalui laman media sosial rasmi PADU, Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) atau DOSM Sarawak sama ada melalui platform Facebook, Instagram dan X,” kata jabatan menerusi satu kenyataan, hari ini.
Jabatan berkata pegawai DOSM juga akan berada di kaunter PEDI terpilih untuk membantu dalam pengemaskinian PADU.
Sebarang info berkenaan kaunter terpilih akan diuar-uarkan melalui hebahan secara Info On Wheel oleh Jabatan Penerangan Malaysi Sarawak dan Media DOSM Sarawak (Facebook, Instagram dan X).
Untuk rekod, Kerajaan Malaysia telah melancarkan satu platform tunggal dikenali sebagai sistem PADU yang bertujuan menjadi sumber primer kerajaan dalam pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar.
Oleh itu, semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas perlu membuat pengemaskinian maklumat isi rumah dan profil individu di sistem PADU. Sementara itu pada tahun ini DOSM akan menjalankan Banci Pertanian.
Katanya maklumat lanjut berkenaan Banci Pertanian ini boleh dilayari melalui portal rasmi Banci Pertanian, https://www.myagricensus.gov.my. Tema Banci Pertanian pada kali ini adalah “Banci Pertanian, Kunci Kemajuan Pertanian.”
“DOSM telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi.
“Ia bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data. OpenDOSM NextGen ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my,” katanya.
|