|
NORRIS dianggap salah seorang pelumba yang mampu mencabar kejuaraan dunia, namun perlu memperbaiki beberapa aspek untuk lebih sempurna. - AFP
LONDON – Bekas juara dunia Formula Satu (F1), Jenson Button percaya pelumba utama pasukan McLaren, Lando Norris perlu memperbaiki beberapa kelemahan ketara andai mahu menikmati kejuaraan Grand Prix (GP) pertama pada musim baharu nanti.
Sebagai rekod, Norris yang berusia 25 tahun dianggap sebagai salah seorang pemandu meningkat naik dalam sukan permotoran F1 sejak beberapa musim lepas tetapi masih gagal menjuarai sebarang perlumbaan GP.
Menurut Button, bakat yang ada pada Norris tidak perlu dipertikai, tetapi bukan mudah untuk kekal bermotivasi andai setiap perlumbaan hanya akan dimenangi oleh seorang pemandu dan pasukan tertentu.
“Saya telah mengenali Norris cukup lama dan dia sememangnya memiliki bakat yang tersendiri. Kita boleh lihat dia sudah mula menyesuaikan diri dengan perlumbaan F1 sejak beberapa musim lepas dan kini dia memasuki tahun ketujuh bersaing dalam saingan elit ini.
“Saya harap pada musim baharu nanti, dia dapat menerima jentera yang sesuai untuk bersaing secara kompetitif kerana sudah tentu dia tidak akan gembira apabila selamanya mencabar kedudukan No. 2.
“Namun, saya pasti dia perlu betulkan aspek mentaliti terlebih dahulu kerana dia bukan sahaja perlu menewaskan pelumba pesaing, tetapi dia juga perlu buktikan keupayaan dengan menewaskan rakan sepasukan.
“Saya percaya masa depannya agak cerah kerana kita boleh lihat bagaimana dominasi Mercedes yang begitu panjang sebelum ini dapat dipecahkan oleh Red Bull menerusi pemanduan Max Verstappen,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... betulkan-mentaliti/ |
|