CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 21708|Reply: 0

[Pulau Pinang] Penduduk Pulau Pinang ambil peluang bercuti akibat gangguan bekalan air

  [Copy link]
Post time 10-1-2024 08:29 PM | Show all posts |Read mode
Penduduk Pulau Pinang ambil peluang bercuti akibat gangguan bekalan air


Januari 10, 2024 @ 5:53pm



Restoran menggunakan bahan plastik untuk menghidangkan makanan berikutan gangguan bekalan air bermula hari ini selama empat hari. - Foto BERNAMA



GEORGETOWN: Sebilangan penduduk di Pulau Pinang yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula hari ini sehingga pagi Ahad, memilih keluar dari negeri ini sama ada untuk bercuti atau pulang ke kampung di negeri lain.

Tinjauan Bernama mendapati, rata-rata mereka memberitahu lebih selesa untuk berada di lokasi lain buat sementara waktu sehingga bekalan air dipulihkan sepenuhnya, tetapi tetap mengambil langkah persediaan dengan menyimpan bekalan di rumah.

Mazlita Abdul Malik, 37, yang tinggal di Relau, Bayan Lepas berkata beliau bersama keluarga memilih untuk keluar dari Pulau Pinang dan bercuti ke Genting Highland kerana bimbang gangguan kali ini akan berlarutan seperti yang berlaku bulan lepas, apabila kejadian paip pecah di Sungai Perai menyebabkan kawasan perumahannya tiada bekalan air selama seminggu.

"Susah kalau tak ada air kerana ia merupakan keperluan asas apatah dalam rumah ada tujuh orang dewasa dan dua kanak-kanak termasuk bayi dan sudah tentu memerlukan penggunaan air yang banyak.

"Harapnya bila balik nanti dah ada air, tapi untuk langkah kecemasan memang ada juga buat simpanan air," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hamidah Udin, 70, yang tinggal di kawasan flat di Seberang Jaya di Seberang Perai Tengah pula berkata ruang rumahnya yang sempit turut menyukarkan beloiau untuk menyimpan air dalam kuantiti yang banyak, jadi beliau bersama anaknya mengambil keputusan pulang ke kampungnya di Tapah, Perak hari ini.

"Makcik tinggal berdua dengan anak perempuan, jadi kudrat kami terhad. Walaupun tinggal di tingkat satu, kalau simpanan air tak cukup jenuh juga nak kena angkut naik. Jadi, jalan mudah adalah balik kampung saja. Sambil itu, boleh juga berjalan-jalan sebab dah lama juga tak keluar bercuti," kata ibu tunggal itu.

Sementara itu, pengurus restoran Nasi Kandar di Teluk Kumbar, Abbas Ali berkata restoran itu dibuka seperti biasa sepanjang tempoh gangguan bekalan air kerana mereka telah menyimpan empat tangki air yang setiap satu berkapasiti 500 liter, untuk operasi perniagaan di situ.

Namun Abbad berkata air disimpan itu lebih kepada bagi tujuan mencuci pinggan dan sebagainya manakala bagi minuman serta memasak mereka menggunakan air mineral dan ais kiub kerana lebih bersih.

"Kali ni kami buka restoran seperti biasa kerana lebih bersedia dengan simpan air berbanding semasa paip bocor Sungai Perai lalu, kami buka kedai setiap hari kerana ada simpanan empat tangki air dan membasuh pinggan serta kegunaan di tandas untuk pelanggan.

"Sepanjang empat hari tiada air ini, kami menggunakan air mineral dan kiub ais untuk memasak serta air minuman sehingga air kembali pulih semula.. saya harap kami cepat dapat air walaupun berada dalam kawasan hujung laluan (EoL) yang paling lewat menerima bekalan air," katanya ketika ditemui di kedainya.

Seorang lagi peniaga gerai makanan dan minuman pagi, Surina Ahmad berkata beliau tidak merancang untuk menutup gerainya kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan berikutan mereka lebih mudah membeli di kedai berbanding masak di rumah di rumah ekoran mahu berjimat air.

"Air yang disimpan itu ditadah semalam, setakat ini saya masih berniaga kerana air yang disimpan masih ada, mungkin air ini dapat bertahan sehingga tiga hari tapi jika habis mungkin saya tidak berniaga," katanya.

Beliau berkata gerainya menggunakan pinggan pakai buang bagi menjimatkan air kerana tidak perlu dibasuh dan walaupun perlu mengeluarkan sedikit modal membeli pinggan pakai buang sekurang-kurangnya gerainya masih dapat beroperasi berbanding ditutup terus yang mungkin menyebabkan kerugian ratusan ringgit setiap hari.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula jam 6 pagi hari ini hingga jam 6 pagi 14 Jan bagi membolehkan kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.

Namun, PBAPP menjangkakan sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT), akan menerima bekalan air selepas 48 jam manakala sebanyak 157 kawasan membabitkan daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selelas 72 jam. – BERNAMA







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 06:33 PM GMT+8 , Processed in 0.058911 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list