CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 21655|Reply: 0

[Perlis] MAIPs kekal pertahan prinsip kebenaran

  [Copy link]
Post time 10-1-2024 08:24 PM | Show all posts |Read mode
MAIPs kekal pertahan prinsip kebenaran


Oleh Aizat Sharif - Januari 10, 2024 @ 7:31pm bhnews@bh.com.my







KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa komited mempertahankan prinsip kebenaran yang diyakini susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dalam mengekalkan status quo agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, prinsip keluhuran Perlembagaan yang terkandung dalam Rukun Negara hendaklah sentiasa dijunjung oleh semua pihak.

"MAIPs mengambil maklum keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini dan sentiasa komited mempertahankan prinsip kebenaran yang diyakini.

"Oleh itu, segala tindakan MAIPs selanjutnya dalam isu ini adalah berdasarkan garis syarak dan undang-undang yang termaktub," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Terdahulu, panel tiga hakim dipengerusikan, Datuk Hadhariah Syed Ismail, bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan wanita terbabit terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah Tinggi tidak menyentuh dua isu termasuk sama ada penukaran agama anak Siew Hong secara unilateral adalah sah ketika prosiding semakan kehakiman.

Selain itu, Seksyen 117(b) Enakmen Perlis atau Enakmen 4 dilihat tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Malah, kegagalan Mahkamah Tinggi menjawab dua isu ini menunjukkannya jelas tersalah arah yang membawa kepada kesilapan dalam undang-undang, kata hakim.

Pada 11 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menolak permohonan semakan kehakiman Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suami yang memeluk Islam.

Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya berkata, tiada bukti dikemukakan bahawa agama ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu.

Katanya, ibu tunggal itu sendiri tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, walaupun ketika berada dalam jagaannya.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan itu, wanita berkenaan antara lain memohon supaya anak-anaknya iaitu pasangan kembar perempuan berusia 16 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan memeluk agama Islam semua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 07:53 PM GMT+8 , Processed in 0.149805 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list