Edited by JoyahMengayah at 8-1-2024 07:47 AM
PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Mahfuz Omar berkata tindakan Sanusi Nor mencanang konon kerajaan perpaduan akan tumbang dalam tempoh terdekat boleh menakutkan pelabur yang mungkin merasakan situasi politik Malaysia tidak stabil.
Mahfuz berkata, ia bukan hanya akan merosakkan ekosistem ekonomi di luar Kedah malah turut menjejaskan ekonomi negeri itu.
Beliau turut menasihatkan menteri besar Kedah itu menonjolkan diri dengan watak sesuai dengan jawatannya dan tidak berlagak sebagai pemimpin politik kampung.
“Apabila beliau bertindak sedemikian, pelabur akan membuat penilaian dan mungkin merasakan situasi politik di Malaysia tidak stabil.
“Walhal ketika ini keadaannya cukup stabil dengan perdana menteri memiliki sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.
“Justeru pemimpin PN (Perikatan Nasional) terutama Sanusi perlu lebih bijak tampil dengan watak sebagai menteri besar, bukan bersikap seolah-olah pemimpin politik kampung,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Mahfuz mengulas kenyataan Sanusi sebelum itu, yang yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak boleh bertahan sehingga habis penggal dan mengetahui bila peralihan kuasa akan berlaku.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata tindakan itu juga dilihat tidak lebih daripada strategi kepimpinan PN untuk menakut-nakutkan Ahli Parlimen mereka daripada terus menyatakan sokongan kepada Anwar.
Katanya, ia jelas menunjukkan kegelisahan kepimpinan PN selain keresahan berdepan beberapa kes mahkamah.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/07/canang-kerajaan-tumbang-takutkan-pelabur-mahfuz-bidas-sanusi/
|