JITRA: Identiti penunggang motosikal yang rentung selepas motosikal ditungganginya terbakar dalam kemalangan dengan sebuah treler di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun petang semalam, masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata mangsa yang parah di kepala dan badan serta terbakar pada bahagian kaki kiri dan kanan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
"Pengecaman identiti mangsa akan dilakukan berdasarkan padanan rekod gigi atau cap jari selain sampel darah oleh pihak forensik," katanya ketika dihubungi hari ini.
Rodzi berkata, hasil siasatan awal kemalangan berlaku ketika treler itu dipandu dari arah Bukit Kayu Hitam ke Jitra.
"Sebaik tiba di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun, treler berkenaan bergerak terus di lorong kiri jalan, namun secara tiba-tiba motosikal jenis Modenas Kriss ditunggangi mangsa keluar dari simpang stesen minyak terbabit dan membelok ke kiri dengan menyelit di sebelah kiri treler.
"Akibatnya berlaku perlanggaran antara treler dan motosikal itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mangsa dipercayai terjatuh sebelum motosikalnya terbakar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu treler berusia 39 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut
Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Media semalam melaporkan, seorang penunggang motosikal rentung selepas motosikal ditungganginya terbakar dalam kemalangan dengan sebuah treler di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 5.36 petang.