Penyanyi Datuk Zainal Abidin mendedahkan lagu berjudul Puteri yang dirakamkan pada tahun 2004 pernah menjadi rebutan penyanyi terkenal antarabangsa, Celine Dion.
Menerusi satu temu bual, Zainal menjelaskan bahawa lagu Puteri telah mendapat perhatian Celine Dion namun dia dan pihak syarikat rakaman terlebih dahulu membayar untuk memiliki hak lagu tersebut.
"Lagu ini sebenarnya dah pun dibeli dan ditempah tapi belum dibayar oleh Celine Dion. Dalam Bahasa Inggeris lagu ini berjudul Heart Don’t Lie.
"Lagu ini sudah berada di ‘rak-rak’ mereka, maka saya dan pihak Warner Music Malaysia bayar lagu itu dan dijadikan lagu Puteri yang saya nyanyikan," katanya.
Difahamkan, penyanyi antarabangsa tersebut ada menghubungi Zainal berhubung isu lagu berkenaan sehingga berlaku konflik antara mereka namun diselesaikan dengan cara baik.
"Apabila saya rakamkan lagu tersebut dan didengar oleh Celine Dion, dia marah. Dia telefon saya dari Kanada secara terus mengatakan bahawa dia ingin mengambil kembali lagu itu. Pertengkaran kecil berlaku. Saya kata ‘ini bukan lagu awak lagi, ianya telah dibayar dan menjadi hak Warner Music Malaysia’.
"Maka sudah tiada masalah dengan Celine Dion, kami berkawan, sekali sekala kami hantar mesej tanya khabar antara satu sama lain.
Bagaimanapun, lagu Puteri tidak dapat memasuki mana-mana pertandingan muzik dalam negara berikutan pencipta asal lagu itu bukan dari Malaysia. "Lirik saya sudah lupa siapa yang terjemah tetapi lagu itu tidak boleh dipertandingkan kerana penulis, penggubah dan pemilik asal lagu bukan rakyat Malaysia.
"Saya rasa lagu itu memiliki tarikan tersendiri dari segi melodinya dan lirik yang baru, ia sangat tepat dengan pasaran Malaysia," ujarnya.
Sumber: Oh Bulan
|