Edited by JoyahMengayah at 12-12-2023 08:22 AM
Seperti dijangka, organisasi bukan bermotifkan keuntungan, Jew Hate Database ‘bersorak’ menang apabila Waner Music Malaysia mengumumkan tentang penamatan kontrak penyanyi naungannya, Kaka Azraff.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram mereka tiga hari lalu, mereka juga telah berkongsi beberapa tangkapan skrin laporan media tempatan.
Jika menjenguk ke ruangan komen, anda boleh melihat bagaimana pengikut-pengikut akaun ini ‘bertepuk tangan’. Ramai yang menyampaikan ucapan terima kasih kepada Warner Music dan Warner Music Malaysia dengan ‘tag’ mereka di ruangan komen.
Biarpun tidak mendapat sebarang reaksi, namun ia tetap memberi impak buruk kepada label pengurusan artis ini, lebih-lebih lagi kepada Warner Music Malaysia. Sudahlah tidak memberi penjelasan yang munasabah tentang penamatan kontrak Kaka, malah mereka juga sehingga kini tidak berani bersemuka dengan pihak media.
Tiada sebarang sidang media dilakukan, sebaliknya hanya memberi makluman menerusi aplikasi WhatsApp.
Jelas mereka, penamatan kontrak Kaka Azraf bukanlah berkait dengan kebebasan bersuara tentang konflik Palestin – Israel, tetapi ia disebabkan penggunaan perkataan yang digunakan oleh pelantun lagu ‘Gila’ ini.
“Kaka Azraff merupakan seorang artis yang sangat berbakat tetapi malangnya, kami terpaksa berpisah dengannya disebabkan penggunaan bahasa tertentu dalam mesej langsung yang dipaparkan dalam talian.
“Walaupun kami dengan teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara oleh artis di bawah naungan kami, namun sesiapa yang bertindak dengan cara sedemikian, tanpa mengira kumpulan, bangsa, atau agama, kami akan turut membuat keputusan yang sama”, jelas wakil dari Warner Music.
Kenyataan Warner Music Malaysia ini dibuat hanya beberapa jam sebelum sidang media bersama Kaka berlangsung pada Rabu, 6 Disember lalu.
|