Edited by pengecattaik at 23-12-2023 09:03 AM
SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau membuat gimik untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden BERSATU pada pemilihan parti yang dijadual diadakan tahun depan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebaliknya menegaskan keputusan terkini untuk terus kekal bertanding bagi jawatan itu dibuat selepas mendapat restu daripada isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga menjelaskan ia turut didorong rayuan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan ahli BERSATU yang mahu beliau mempertahankan jawatan Presiden BERSATU pada pemilihan akan datang.
"Gimik? Kamu cuba tanya kawan-kawan lain ini gimik ke? Saya bukan main-main. Anda kalau duduk di atas dan dengar. Ini bukan main gimik.
"Bukan permainan budak-budak. Itu (hasrat untuk tidak mempertahankan jawatan) adalah ucapan dasar saya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin ketika Ucapan Penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU dilapor membuat pusingan U apabila memaklumkan akan bertanding jawatan presiden parti itu pada pemilihan akan datang.
Penegasan Muhyiddin itu hadir sehari selepas beliau menyatakan hasrat untuk tidak mempertahan jawatan Presiden BERSATU dalam Ucapan Dasar Presiden sempena PAT BERSATU 2023.
Sementara itu, Muhyiddin turut mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat BERSATU yang mungkin dianggotai beliau dan beberapa individu Melayu berpengaruh lain, bertujuan menentukan hala tuju dan dasar parti berkenaan.
Beliau berkata, majlis itu juga boleh berfungsi dan berkuasa menentukan pemilihan calon yang mahu diketengahkan BERSATU pada mana-mana pilihan raya akan datang.
"Ia (pemilihan calon pilihan raya) akan melalui jawatankuasa pilihan tetapi (keputusan) muktamadnya dibawa kepada majlis (penasihat) untuk pengesahan.
"Maknanya, dia (bakal calon) disaring secara mendalam dan (majlis penasihat) menentukan supaya pilihan akan dikemukakan sebagai calon pilihan terbaik.
"Mungkin (cadangan) ini akan dibincangkan dalam MPT, sama ada saya ada atau tidak di situ akan datang...ada keperluan untuk badan (majlis penasihat) memberi pandangan dan nasihat," katanya.
|