|
Rakyat Palestin berpanjangan menderita akibat terus diserang dari segenap penjuru oleh rejim zionis Israel.
Terbaharu, konvoi kemanusiaan yang membawa bekalan perubatan di Bandar Gaza turut diserang, pada Selasa.
The Guardian melaporkan, serangan kejam itu didedahkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menerusi laman X pada pagi Rabu.
Foto: Reuters
"Konvoi lima trak membawa bekalan perubatan untuk disalur ke fasiliti kesihatan termasuk ke Hospital Al-Quds diserang dengan tembakan.
"Dua trak rosak dan seorang pemandu cedera ringan," ujar persatuan itu.
Dalam kenyataan berasingan, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menyatakan kekesalan mereka atas serangan berkenaan.
"Kami kesal konvoi kemanusiaan kami di Gaza diserang. Ia membawa bekalan perubatan ke fasiliti kesihatan termasuk Hospital Al-Quds.
"Di bawah Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, pekerja kemanusiaan perlu dilindungi," ciap ICRC.
Bagaimanapun ICRC tidak menyatakan pihak mana yang melepaskan tembakan ke arah konvoinya atau dari mana tembakan itu datang. -CARI
Sumber: mStar |
|