Edited by pengecattaik at 7-11-2023 11:56 PM
KUALA LUMPUR: Jabatan Penerangan hari ini didakwa menarik semula Kad Perakuan Media wartawan Harakahdaily dipercayai mempunyai kaitan dengan penyiaran artikel memaparkan foto Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bendera Israel.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa pihak Harakahdaily menerima surat penarikan kad media berkenaan dari Jabatan Penerangan, hari ini.
"Janganlah ambil tindakan terhadap kami akhbar-akhbar yang di atas nama parti ini.
"Ya, saya akui teguran PM pagi tadi, berhubung Harakah (artikel dengan gambar Anwar berlatar belakangkan bendera Israel) tetapi hari ini Harakah terima surat Jabatan Penerangan diambil balik kad media wartawan Harakah.
Satu tindakan yang tidak pernah akhbar Harakah alami sejak disebut zaman maha zalim, tak pernah ambil tindakan," katanya pada perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara, di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, ketika membahaskan isu perpaduan, Ahmad Fadhli menyarankan, kerajaan mengambil tindakan kepada pihak termasuk media yang menyentuh isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan.
"Kita tahu mengukuhkan antara kaum dan agama, negara masih menghadapi cabaran dalam mengurangkan sentimen Islamophobia.
"Saya ambil contoh (akhbar berbahasa Cina) dalam hukum menyambut perayaan Halloween dikeluarkan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), mendapat komen sangat negatif dalam kalangan netizen, maaf saya sebut yang belum memahami Islam.
"Begitu juga dengan artikel dikeluarkan tokoh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyatakan haram bagi Muslim menyertai acara larian ditaja bank (amalkan) riba," katanya.
Katanya, beliau tidak berniat menyalahkan pihak terbabit, namun jika dibiarkan ia akan akan mewujudkan persepsi negatif terhadap umat Islam.
"Saya tak nak salahkan akhbar ini tetapi kalau kita tengok artikel seperti itu menjadi 'kenduri' besar netizen.
"Jadi, kerajaan perlu mengambil tindakan kepada akhbar ini dan menasihatkan mereka supaya komen yang ganggu sensitiviti agama tak boleh dibiarkan kerana mengganggu perpaduan," katanya.
Ahmad Fadhli turut menggesa kerajaan mengawal setiap hantaran yang boleh menggugat perpaduan masyarakat dengan memberi contoh hantaran dibuat Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.
"Saya tidaklah kata dia bermaksud demikian (gugat perpaduan), tetapi posting seperti disebut YB Teluk Intan sebagai contoh apabila beliau memaparkan pakaian kanak-kanak pakai serban dan menyertai solidariti dan dinyatakan sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremis dan sebagainya ia difahami sebagai menghina pakaian ini.
Katanya, sebagai sebuah kerajaan sepatutnya menunjukkan contoh dengan tidak menyentuh isu 3R berikutan ia mudah disalah tafsirkan pelbagai pihak terutama netizen.
Terdahulu, pada sesi persidangan Dewan Rakyat pagi tadi, Anwar dengan nada berang memberi amaran kepada PAS kerana mengaitkan beliau dengan Israel dalam sebuah laporan artikel disiarkan Harakah Daily.
Anwar berkata, dia bengang apabila gambarnya berlatar belakangkan bendera Israel disiarkan dalam portal terbabit sedangkan beliau dan kerajaan bergelut menyokong perjuangan dan membantu Palestin yang berterusan dibedil rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu.
|