“Saya ada hantar DM ‘salam takziah’ di Instagram masa arwah Siti Sarah meninggal dunia tapi dia balas lepas lima bulan,” katanya kepada URTV.
Sementara itu, Shuib menambah, dia juga ada meminta nombor telefon Watie sebagai langkah pertama untuk memulakan perkenalan.
“Dia salah seorang yang ucapkan takziah masa arwah Siti Sarah meninggal dalam ramai-ramai orang yang hantar mesej.
“Itu mungkin ‘point’ jugalah saya bercakap dengan dia dalam DM. Tapi tak sangka pula bila kita minta nombor telefon tu…dapat.
“Dan masa saya DM minta nombor telefon tu saya fikir ‘apa yang aku buat ni’. Saya ada perasaan tak sepatutnya minta.
“Tapi tulah masa kita serahkan saja sebab masa saya minta (nombor telefon), dia tak balas. Masa tu saya rasa mungkin pandangannya pada saya tu tak ‘connect’…jadi saya tunggu sajalah,” ujarnya.
Watie dan Shuib berkata demikian ketika ditemui di sidang media Walimatulurus Shuib & Watie yang diadakan di Astro, Bukit Jalil, semalam (Rabu).
Ada rekod baik, layanan bakal ibu mentua
Memiliki rekod yang baik sewaktu bergelar suami kepada arwah Siti Sarah, membuatkan hati Watie tidak ragu-ragu untuk menerima lamaran lelaki itu.
Akui ada bertanyakan pendapat keluarga sebelum membuat keputusan, Watie yakin dengan pilihannya dan percaya Shuib boleh membahagiakan dirinya.
“Saya ada ambil masa, beritahu keluarga untuk minta pendapat dan mereka juga tahu saya suka budak-budak. Penerimaan anak-anak dan keluarga dia juga sangat baik terutama ibunya. Itu yang buat saya terima.
“Dia ada rekod yang baik. Sebab bila kita nak kenal dengan orang itu, kita kena ambil masa yang lama tapi macam dia lain. Saya dah tahu sedikit sebanyak mengenai dia semasa dia dengan arwah.
“Dia nampak boleh jadi suami dan pemimpin yang baik. Sebab itu saya yakin nak bawa hubungan itu lebih jauh,” kongsinya.
