CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4488|Reply: 0

[Sabah] Polis rampas daging, ayam beku bernilai lebih RM19 juta

[Copy link]
Post time 23-10-2023 10:34 PM | Show all posts |Read mode


RAMPASAN: Shahurinain (kanan) dan Sammy (kiri) menunjukkan gambar rampasan hasil serbuan di dua premis penyimpanan daging beku di Penampang.

KOTA KINABALU: Polis berjaya merampas ayam, daging dan makanan laut sejuk beku yang bernilai kira-kira RM19,611,620 dalam serbuan di dua premis di Jalan Papar Lama Penampang pada Sabtu lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Shahurinain Jais berkata, serbuan kira-kira jam 10 pagi itu itu dibuat berikutan premis terbabit disyaki memiliki produk dan hasil haiwan tanpa lesen yang sah, meragukan status halal serta dipercayai melanggar peraturan-peraturan kebersihan makanan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas lima peti penyimpanan sejuk beku di kedua-dua premis berkenaan, polis merampas beberapa kotak yang mengandungi pelbagai bahagian ayam sejuk beku, itik, tulang lembu, daging kambing, sotong, nuget, ikan, dan bebola daging pelbagai jenama.

"Seramai 13 individu dipercayai pekerja di premis terbabit termasuk sembilan lelaki dan empat wanita berumur dalam lingkungan 23 hingga 38 tahun diperiksa.
"Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat ke atas pekerja-pekerja berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, turut dirampas komputer riba, kenderaan seperti lori dan forklift bernilai sekitar lebih RM200,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kira-kira RM20,461,120.

Menurutnya, lesen perniagaan premis terbabit tamat tempoh sejak Julai lepas dan gudang penyimpanan itu dijadikan sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan ayam dan daging sejuk beku serta pelbagai makanan laut beku dipercayai untuk pasaran tempatan.

Katanya, kesemua rampasan diserahkan kepada pegawai operasi Seksyen Veterinar Sabah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1) Enakmen Haiwan 2015 Negeri Sabah.

Shahurinain berkata, premis itu juga memperoleh bekalan ayam dan daging dari negara seperti Brazil, Jerman, Poland, Sweden, dan Australia yang tidak mempunyai pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dalam pada itu, pihaknya tidak menolak sindiket terbabit adalah sebahagian daripada kartel berikutan jumlah rampasan yang besar.

"Perkara ini masih dalam siasatan pasukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) dan Perisikan Siasatan Khas (PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman yang mengendalikan kes seperti ini," jelasnya.

Serbuan yang dijalankan itu turut melibatkan pasukan WCB/PSK Jabatan KDNKA Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polsi Daerah (IPD) Penampang, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, dan Seksyen Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2024 12:18 PM GMT+8 , Processed in 0.057831 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list