View: 2668|Reply: 0
|
Dorong lidah untuk kebaikan
[Copy link]
|
|
Dorong lidah untuk kebaikan
LISAN hendaklah digunakan sebaik-baiknya dan antara yang terbaik adalah dengan membasahkan lidah dengan membaca al-Quran. FOTO Arkib NSTP
Antara perkara yang boleh membentuk kesempurnaan iman adalah memelihara tutur kata.
Melaluinya ia mencerminkan keperibadian dan ketinggian akhlak seseorang Muslim.
Kemuliaan seseorang juga boleh dinilai berdasarkan tutur kata. Apa yang diniatkan dan digambarkan di hati akan diterjemah dengan tutur kata.
Dalam hal ini Rasulullah SAW mengajar orang beriman supaya sentiasa mengawasi perkataan yang dituturkan dan membiasakan diam sekiranya tiada perkara yang perlu dibicarakan. Hal ini dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah dia diam".(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mengenai berkata yang baik adalah merujuk kepada apa sahaja tutur kata yang bermanfaat dan berfaedah seperti bertanya khabar, memberi nasihat, mengajar dan sebagainya. Di samping berkata yang baik, mencegah dan mengawal lidah daripada menuturkan perkara yang tidak bermanfaat seperti menyebarkan perkara dusta, memfitnah dan perkara khurafat perlulah dilaksanakan ketika berkata-kata.
Seorang yang beriman perlu sedar setiap amalan kebaikan akan dicatat oleh malaikat Raqib dan manakala setiap amalan buruk akan dicatat malaikat Atiq. Hal ini dibuktikan dengan firman Allah yang bermaksud: "Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah (atom), nescaya dia akan melihat (balasannya) dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, akan melihat (balasannya)." (Surah al-Zalzalah ayat 7 hingga 8).
Pada hari akhirat nanti segala amalan manusia akan diperlihatkan oleh Allah SWT. Oleh yang demikian seharusnya manusia dianugerahkan Allah SWT akal yang bijaksana boleh menilai baik dan buruk tutur katanya.
Adapun faedah diam pula, ia kaedah yang terbaik bagi mencegah manusia daripada tergelincir mendapat dosa percuma atau mendapat penyesalan yang tidak berkesudahan.
Dengan berdiam sahaja, secara umumnya ia boleh memberi faedah kepada diri dan masyarakat.
Sementara itu, jika seseorang itu masih memilih berkata-kata dengan menurut hawa nafsu semata-mata tanpa memikirkan pengakhirannya pada masa hadapan secara tidak lansung akan membuka ruang kepada berlaku perkara 'mazmumah' (yang tercela) seperti menyebarkan fitnah, mencela dan lebih buruk lagi menimbulkan gambaran buruk tentang keperibadian seseorang. Daripada sudut kemasyarakatan pula, akan mengeruhkan hubungan silaturahim, mencetuskan pertelingkahan dan tidak mustahil ia akan mencetuskan kebencian yang bersifat berpanjangan.
Berkenaan dengan bahaya lidah, Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitab karangan beliau, al-Arbai'n Fi Usul al-Din, secara fitrahnya, terdapat lima keburukan yang berpunca daripada lidah iaitu berdusta, mengumpat, perdebatan, pujian dan gurauan. Jika lidah tidak didorong dengan kebaikan, tidak mustahil lidah akan menjadi alat pencetus kepada terbitnya dosa dan masalah.
Daripada lima keburukan yang dinyatakan, terdapat dua keburukan yang amat berat di sisi Allah SWT dan peringatkan dalam al-Qur'an iaitu berdusta dan mengumpat.
Perbuatan berdusta adalah menuturkan kata-kata yang tidak benar dan ia mencegah daripada kebenaran. Allah SWT memberi perumpaan orang yang berdusta dalam firmannya yang bermaksud: "Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang yang tidak beriman kepada ayat Allah SWT dan mereka itu ialah orang yang bertabiat berdusta." (Surah al-Nahl ayat 105)
Bahkan perumpamaan orang yang suka berdusta diumpamakan dengan perangai golongan munafik, hal ini dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "Tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati." (Hadis Riwayat Abu Hurairah)
Gambaran bahaya berdusta memberi kesan kepada peribadi pula dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "Hamba itu terus berdusta dan cuba berdusta sehingga ditulis di sisi Allah SWT sebagai pendusta." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Hibban, Abu Daud dan lain-lain)
Mengumpat pula adalah suatu perbuatan menceritakan hal buruk dan mencela orang lain. Allah SWT menggambarkan tercelanya perbuatan mengumpat melalui firmannya yang bermaksud: " Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang serta janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujurat ayat 12)
Penegasan tentang bahaya mengumpat juga dapat dilihat dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina. Sesungguhnya seseorang itu terkadang dia berzina dan bertaubat, maka diterima oleh Allah SWT akan taubatnya. Dan seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpatnya." (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya dan Ibnu Hibban)
Kesimpulannya, lumrah manusia akan menilai baik dan buruk seseorang berdasarkan apa yang dilihat dan dengar sahaja. Sehubungan itu, berkata-kata secara umum diharuskan dan diam pula tidak disuruh secara mutlak. Apa yang mustahak adalah menilai terlebih dahulu perkara yang hendak diperkatakan atau didiamkan itu mendatangkan faedah atau tidak.
Penulis Ketua Jabatan Usuluddin, Kolej Islam As Sofa
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... idah-untuk-kebaikan
|
|
|
|
|
|
|
| |
|