CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 536|Reply: 0

[Perlis] Buat pelbagai kerja sara anak hidap leukimia

[Copy link]
Post time 9-10-2023 10:40 AM | Show all posts |Read mode

Mohd. Zaki bersama Anita menjaga Muhammad Haziq ketika ditemui di Kampung Tasoh, Padang Besar baru-baru ini.

PADANG BESAR – Seorang bapa sanggup mengerah keringat dengan melakukan apa sahaja pekerjaan demi menampung perbelanjaan keluarga termasuk anak lelakinya yang menghidap leukimia sejak lima tahun lalu.

Mohd. Zaki Abdul Ghani, 48, berkata, dia melakukan apa sahaja pekerjaan termasuk buruh kasar, menjaga kebun, memotong rumput dan pelbagai kerja rencam lain, manakala isterinya, Anita Idris, 45, tidak bekerja.

Katanya, dia perlu berkorban demi memastikan keperluan keluarga dan anak lelakinya, Muhammad Haziq Uwais, 8, mencukupi.

Anak ketiga daripada empat beradik itu disahkan menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) setelah mengalami demam selama sebulan.

“Saya buat apa sahaja kerja yang ada termasuk menjadi buruh kasar, menjaga kebun, memotong rumput dan pelbagai kerja rencam lain.

“Pendapatan saya adalah kira-kira RM900 sebulan dengan sebahagiannya diperuntukan untuk keperluan Haziq,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasoh, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Zaki, anaknya disahkan menghidap ALL ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Tambahnya, Muhammad Ha­ziq kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan terpaksa menjalani kemoterapi dari tahun 2018 hingga 2020.

“Selepas tamat rawatan, anak saya kembali diserang sel kanser dan dikategorikan sebagai leukemia relapse ALL serta terpaksa menjalani imbasan tomografi berkomputer, kemoterapi dan radioterapi,” katanya.

Ujar Mohd. Zaki, anaknya kini terpaksa berulang-alik ke HPP untuk menjalani pemeriksaan berkala selain perlu membeli susu khas kerana Haziq hilang selera makan akibat kesan ubatan kemoterapi yang diambil.

“Saya terpaksa membelanjakan kira-kira RM450 sebulan untuk menanggung kos perjalanan dari Perlis ke Pulau Pinang dan susu khas untuk Haziq,” katanya.

Menurutnya, ada kalanya Muhammad Haziq tidak dapat minum susu mengikut sukatan diperlukan kerana terpaksa mencatunya setiap kali pendapatan bulanannya berkurangan.

“Apa pun saya bersyukur anak lelaki sulung berusia 14 tahun yang masih bersekolah ada menerima tempahan membuat kek dan itu sedikit sebanyak dapat membantu menampung per­belanjaan keluarga,” jelasnya.

Tambahnya, dia juga mene­rima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Orang ramai yang ingin membantu Muhammad Haziq boleh menghubungi Anita di talian 017-502 4821 atau menyalurkan bantuan terus ke akaun Agro Bank miliknya di 2005181000180711.
https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... nak-hidap-leukimia/

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 09:03 AM GMT+8 , Processed in 0.375493 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list