Bukan menolak tuah, namun pelakon, Nadhir Nasar mengakui ilmu lakonannya belum cukup kukuh untuk menggalas tanggungjawab sebagai pelakon utama sesebuah naskhah.
Bagi Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 27, pengalamannya yang masih baru dalam dunia lakonan membuatkannya lebih selesa menerima tawaran sebagai pelakon pembantu atau naskah anti-hero seperti Projek High Council.
“Dengan ilmu yang saya miliki hari ini, rasanya belum layak membawakan watak hero.
“Bila berlakon, kita melibatkan banyak orang dan mahu proses penggambaran berjalan lancar.
“Buat masa ini, saya mahu meneroka pelbagai watak antagonis atau karakter yang beremosi. Lagi pula saya masih muda,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kongsi juara Hero Remaja 2020 ini lagi, walaupun ada pihak yang beranggapan Nadhir seperti melepaskan peluang keemasan kerana menolak tawaran watak utama yang diimpikan kebanyakan pelakon, jejaka itu hanya tersenyum.
“Tawaran ada, cuma bukan sekarang. Ada yang cakap saya seperti menolak tuah, tapi saya percaya kepada rezeki Allah. Masa saya akan datang suatu hari nanti.
“Saya berada di sini untuk jangka masa yang lama,” tambahnya.
Nadhir bakal tampil sebagai Roy dalam drama terbarunya, Super Wira. Naskhah arahan Ghaz Abu Bakar itu menampilkan hero dengan sentuhan dan elemen Malaysia.
Turut sama memeriahkan drama bersiri tujuh episod itu ialah Beto Kusyairy, Mira Filzah, Zizan Razak, Ezzaty Abdullah, Idan Aedan dan Arena Wan.
Super Wira ditayangkan menerusi saluran Astro Ceria.
Sumber: Utusan
|