Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, bersama pemenang Pertandingan Syarahan dan Bercerita Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Kuala Perlis, Kangar - Foto NSTP/AIZAT SHARIF
KANGAR: Semua sekolah akan dipastikan menerima akses internet terbaik selaras dengan agenda pendigitalan pendidikan dalam sistem pendidikan negara yang akan ditumpukan dalam Belanjawan Madani 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital dalam soal itu khususnya di kawasan pedalaman.
Katanya, menjadi hasrat kementerian untuk memastikan tiada satu sekolah pun ketinggalan daripada mendapat akses liputan internet yang lebih baik kerana ia seiring dengan agenda pendigitalan pendidikan dalam sistem pendidikan yang menyokong Dasar Pendidikan Digital (DPD) dalam melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.
"Untuk tujuan ini sebenarnya kita akan bekerjasama rapat dengan KKD di mana KKD sendiri sudah membuat banyak langkah dalam mendapatkan data sekolah yang perlu diberi perhatian dalam meluaskan liputan jaringan akses pendidikan digital di sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Syarahan dan Bercerita Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sebuah hotel di Kuala Perlis, di sini hari ini.