Pelakon, pengacara dan pelawak, Jiggy, 34, ada berbincang dengan isterinya yang juga atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri, 24, mengenai ketidakselesaan isterinya itu mengenakan pakaian renang sewaktu beraksi dan dipertontonkan kepada umum sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
Jiggy berkata, isterinya ada memaklumkan kepadanya jika ada pihak keluarkan satu format pakaian baru untuk menutup aurat, Dhabitah sendiri akan menyokong dan memakainya.
"Sebelum kahwin dia sudah ajak saya berbincang banyak perkara termasuk isu pemakaiannya dalam sukan terjun.
"Sebelum kami ambil keputusan berkahwin, dia minta izin terlebih dulu untuk terus aktif sehingga Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
"Namun, jika dia tidak diperlukan, dia akan berhenti awal. Tapi memandangkan pelapis baru pun masih dalam proses pencarian lagi, jadi dia masih berkhidmat," katanya.
Jiggy berkata, buat masa ini, dia enggan melayan segala komen negatif terhadap pemakaian isterinya yang kini beraksi di Sukan Asia Hangzhou, China.
Menurutnya, sebagai suami dia sentiasa menyokong dan memahami etika pemakaian isterinya yang perlu berpakaian baju renang sewaktu latihan atau perlawanan.
"Itu saja pakaian rasmi sukan untuk acara terjun. Kalau orang lain nak bercakap, saya tak boleh buat apa kerana mereka akan tetap mencari salah.
"Selagi dia masih diperlukan untuk berkhidmat demi negara, saya akan sentiasa menyokong dan faham situasinya.
Susulan kejayaan Dhabitah dan Datuk Pandelela Rinong meraih gangsa dalam acara 10 meter platform seirama wanita di Sukan Asia, Jiggy berkata, pada awalnya dia tidak membenarkan isterinya menyertai acara itu.
" ada awalnya saya tak benarkan Dhabitah sertai Sukan Asia kerana dia masih menjalani rawatan selepas mengalami kecederaan pergelangan tangan pada Julai lalu.
"Kalau ikutkan keadaan kesihatannya masih belum mengizinkan dia untuk beraksi tapi demi semangat untuk negara dia yakinkan dirinya mampu buat yang terbaik.
"Alhamdulillah tak sangka kejayaan berpihak kepadanya. Orang boleh cakap kenapa hanya menang gangsa tapi untuk dia berada di situ pun adalah satu pencapaian besar," katanya.
Sumber: Harian Metro
|