TASEK GELUGOR: Usahawan luar bandar disaran menguasai kemahiran digital untuk menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif dan demi kelangsungan perniagaan mereka, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Beliau berkata, langkah itu diharap berupaya merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, seterusnya membantu usahawan luar bandar meningkatkan produktiviti, kecekapan dan sebagai persediaan menjalankan perniagaan secara dalam talian selaras dengan situasi ekonomi semasa.
"Bagi memastikan proses peralihan itu berjaya, usahawan digalak menghadiri latihan dan program peningkatan kemahiran bagi memastikan produk dipasarkan menarik perhatian pelanggan.
"Walaupun kini pemasaran secara digital adalah norma baharu dalam perniagaan, memasarkan produk di media sosial saja tanpa strategi dan kemahiran, mungkin tidak memberikan impak berkesan," katanya selepas merasmikan Ekspo Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (EXPERT) 2023 di sini malam tadi.
Program yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu di Midtown Perda, Kubang Menerong di sini turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.
EXPERT 2023 menampilkan 250 reruai pameran membabitkan reruai jualan produk dan perkhidmatan usahawan serta pelbagai agensi, sektor korporat, kerjaya serta pameran mesin dan peralatan.
Rubiah berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyediakan pelbagai kursus dan bimbingan digital menerusi Program Pendigitalan Usahawan Desa bagi membantu usahawan luar bandar memasarkan dan menambah baik kualiti produk sebagai persediaan memulakan perniagaan dalam talian.
Beliau berkata, langkah itu termasuk menyediakan platform DesaMall@KKDW sejak 2017 bagi memasarkan produk usahawan luar bandar secara dalam talian menerusi platform e-dagang.
Katanya, langkah itu juga sebagai pendorong anjakan paradigma kepada usahawan beralih daripada perniagaan secara tradisional kepada memasarkan produk secara dalam talian menerusi platform digital, seterusnya merakyatkan ekonomi digital.
"KKDW juga memperuntukkan RM1.7 juta bagi Program Pendigitalan Usahawan dengan menyasarkan 1,000 usahawan mendigitalkan perniagaan pada tahun ini. Setakat ini, berdasarkan rekod kami sebanyak 2,472 syarikat berjaya didigitalkan," katanya.
Sementara itu, Rubiah berkata, EXPERT 2023 yang memasuki tahun kedua penganjuran menyasarkan nilai jualan dan perolehan kontrak sebanyak RM1.5 juta.
Katanya, platform itu memberi ruang menyeluruh kepada usahawan yang menjalankan perniagaan mahupun yang baru menceburi bidang keusahawanan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
Beliau berkata, ini juga selaras dengan objektif PERDA dan KKDW untuk membantu usahawan luar bandar memperkenalkan dan mempromosi perkhidmatan syarikat, selain membolehkan mereka menyertai aktiviti pemadanan perniagaan untuk meningkatkan pendapatan.
"Pada penganjuran tahun lalu, jualan dan kontrak bernilai RM1.2 juta berjaya diraih dan kita berharap kali ini dapat mencapai sasaran RM1.5 juta dengan sasaran kehadiran lebih 70,000 pengunjung sepanjang empat hari program," katanya. - BERNAMA