Baling: Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan mangsa banjir di jajaran Sungai Kupang takut untuk pulang ke kediaman masing-masing memikirkan rumah tidak lagi selamat untuk diduduki.
Mariam Abdul Isa, 71, dari Kampung Bukit Iboi berkata, namun dia tidak ada pilihan dan terpaksa terus tinggal di rumah sendiri kerana tidak mampu untuk menyewa atau membina rumah baharu di kawasan lain.
"Sekarang hakisan tebing sungai terlalu teruk sehingga paras air sungai hampir sama dengan rumah menyebabkan saya, saya dan anak-anak trauma.
"Tak ada tempat lain kami nak duduk, jika ikutkan hati saya memang nak balik. Habis peti ais dan mesin basuh rosak, air masuk ke rumah hampir satu meter.
"Saya tak tahu nak gambarkan perasaan macam mana, sudah dua kali rumah saya dimasuki air, memang kami tidak selamat lagi untuk tinggal di sini," katanya yang baru kematian suami pada Januari lalu.
Seorang lagi mangsa banjir, Che Mah Wahab, 75, berkata dia juga tidak mampu berpindah ke tempat lain kerana kesempitan hidup.
Katanya, dia tersenarai sebagai penerima rumah baharu bagi fasa kedua di Kampung Bok Bak, namun sehingga sekarang tidak tahu bila rumah itu akan dibina dan siap.
"Semoga kerajaan percepatkan pembinaan rumah untuk kami. Saya dan keluarga sudah tidak selamat tinggal di situ kerana jarak rumah dan sungai kira-kira dua meter saja.
"Apabila hujan saya dan ahli keluarga akan rasa takut dan trauma. Jika hujan lebat berterusan tidak mustahil rumah saya akan dinaiki air lagi," katanya yang kini masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi di sini.
Kelmarin, penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi dan Kampung Padang Ampang sekali lagi dilanda banjir puing selepas Sungai Kupang melimpah menyebabkan hampir 200 rumah terjejas.
Sehingga hari ini, sebanyak 155 keluarga dengan 579 mangsa masih ditempatkan di empat buah PPS iaitu SK Iboi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, SK Sungai Keda dan surau Annur.
Sebelum ini, kejadian banjir puing pada 4 Julai tahun lalu menyebabkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas, 17 rumah musnah yang turut mengorbankan tiga nyawa, termasuk wanita hamil serta mengakibatkan kerugian berjumlah RM28 juta.