"Saya menghormati setiap penyanyi lama yang ada di Malaysia. Mereka ini adalah figura yang berbakat besar dan mempunyai kredibiliti tersendiri.
"Jangan disebabkan ada pihak cuba melaga-lagakan, saya pula menjadi mangsa sedangkan kenyataan saya tidak membawa maksud yang kebanyakan daripada anda fikir.
"Saya tetap dengan pendirian saya yang mengatakan maksud sebenar Mamat berada di tempat tinggi adalah dia seorang 'legend' dan penyertaannya dalam program GV sebelum ini sudah meletakkan dia di tahap yang lebih tinggi" katanya.
Terdahulu, Nabil dikatakan bergurau secara melampau susulan kenyataannya mengenai ketiadaan Mamat sewaktu mengacarakan program All Stars GV yang baru membuka tirai minggu pertama Ahad lalu.
Situasi bermula apabila pengacara bersama, Elly Mazlein bergurau dengan 'rajuk' mempersoalkan ketiadaan Mamat dalam pertandingan sedangkan Ezad diundi masuk mengisi kekosongan slot 'hot seat' musim kali ini.
"Memanglah minat Exists. Ingatkan Mamat," kata Elly seraya memalingkan wajahnya ke tempat lain dengan liuk manja.
Nabil kemudian mempertahankan Ezad dengan berkata: "Jangan cakap macam tu. Ezad ada kat sini tau. Abang Mamat kita tak dapat sebab dia berada di tempat yang lebih tinggi."
Gurauan berlapik itu dengan pantas disambut Jihan Muse: "Ah ye, dia (Mamat) tengah 'hiking'."
Sumber: Harian Metro