|
DAMOK gagal pamer peningkatan prestasi.
Kuala Lumpur: Jodoh pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman bersama MT Helmets-MSi nampaknya tidak panjang apabila pasukan itu tidak mahu terus menggunakan khidmatnya pada musim depan di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Malah penampilan satu-satunya pelumba Malaysia di perlumbaan paling berprestij itu juga kemungkinan besar hanya semusim penuh sahaja kerana agak sukar untuknya mencari tempat dengan pasukan lain yang kebanyakannya sudah menandatangani kontrak bersama pelumba masing-masing pada musim depan.
Berita mengecewakan itu dikongsikan oleh pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang menyaksikan sendiri perlumbaan Grand Prix (GP) India di mana Syarifuddin atau lebih mesra disapa Damok meraih satu lagi keputusan mengecewakan apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20.
"Satu lagi keputusan mengecewakan selepas separuh musim di mana kami sendiri tak nampak kemajuan dibuat oleh Damok. Pada awal musim kita nampak ada sedikit kemajuan tetapi di pertengahan musim sampailah ke pusingan di India, kita tak nampak kemajuan yang baik daripada Damok.
"Apa yang paling mengecewakan saya adalah apabila diberitahu oleh pasukan MT Helmets-MSi yang mereka tidak akan lagi teruskan khidmat bersama Damok pada tahun 2024," katanya yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan karier Damok.
Jelas Zulhfami yang juga bekas pelumba negara di MotoGP, dia sendiri cuba berunding dengan MT Helmets MSi untuk meneruskan khidmat Damok, namun mereka menolaknya.
"Mereka suruh saya cari tempat untuk Damok bersama pasukan lain dan saya sudah berunding dengan beberapa pasukan di Kejohanan Dunia pada minggu ini tetapi peluangnya nampak tipis.
"Saya akan terus mencari tempat untuk Damok tetapi sekarang sudah bulan September, nampak semua tempat dalam Moto3 hampir penuh. Ada dua pasukan yang masih ada tempat dan sekarang saya masih lagi menunggu jawapan," katanya.
Selepas 13 pusingan, Damok hanya mampu meraih lima mata yang diraihnya pada pusingan kedua di GP Argentina ketika rakan sepasukannya, Diogo Moreira menyerlah apabila meraih 101 mata untuk menduduki tempat ketujuh pelumba Moto3.
Malah ketika di GP India, Damok tewas kepada pelumba wild card negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 bersama pasukan Petronas MIE Racing Vision Track Racing.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... perlukan-damok-lagi |
|