|
Gambar hiasan.
Kuala Lumpur: Perkongsian pemuda ini menerusi video 'point of view' atau POV mengenai pasangan kekasih yang sedang bahagia dan bergaduh di TikTok menarik perhatian warganet.
Disebabkan itu, Mohd Aizat Saharuddin, 28, kian dikenali hingga ramai menggelarnya Abang POV.
Malah, Aizat yang juga pramugara di sebuah syarikat penerbangan swasta turut dihujani mesej yang mahu berkenalan selain menawarkan diri menjadi kekasih.
"Idea membuat video POV itu datang secara spontan. Sebab isu yang diketengahkan adalah biasa malah ramai yang melalui situasi sebegitu.
"Untuk semua kandungan video yang dikongsi, 20 peratus adalah berdasarkan daripada pengalaman sendiri, selebihnya lebih pada banyak mendengar dan melihat daripada pengalaman orang sekeliling," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pada mulanya sekadar membuat kandungan 'POV dinner with me' kerana kebetulan ada makan malam.
"Selepas mendapat sambutan, saya mula keluar dengan kandungan seterusnya. Saya tidak sangka ia boleh tular.
"Alhamdulillah, boleh dikatakan ramai juga yang memanggil saya sebagai Abang POV.
"Saya tak kisah juga apabila digelar Abang POV, kalau itu yang boleh buat mereka lebih dekat dengan saya. Ramai juga yang mesej nak berkenalan dan mahu menjadi kekasih saya di TikTok dan Instagram," katanya.
Aizat yang berasal dari Klang, Selangor berkata, sifat romantik yang dipaparkan dalam setiap kandungan video itu juga ditujukan buat insan yang disayanginya.
"Sifat romantik itu ada pada setiap manusia. Cuma yang membezakan seseorang itu adalah dengan cara mereka memaparkan sifat romantik itu.
"Untuk saya, apa yang dipaparkan adalah sifat romantik yang saya akan beri pada orang yang saya sayang kerana saya memilih mengekspresikan perasaan dengan tindakan," katanya.
Menurutnya, pengalaman sebagai pereka grafik dan pencipta kandungan selama enam tahun membolehkan dirinya lebih kreatif.
"Saya sudah mula berkecimpung dalam bidang ciptaan kandungan sejak 2021 sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana waktu itu saya mula memuat turun aplikasi TikTok.
"Saya juga pernah bekerja di tiga syarikat sebagai pereka grafik dan pencipta kandungan. Cuma untuk content POV baru saja mula. Kandungan pertama dimuat naik pada 3 Ogos lalu," katanya.
Menurutnya, kandungan POV yang dikongsikan lebih kepada ingin mengukir senyuman buat mereka yang menonton.
"Tiada apa yang lebih membahagiakan diri saya selain melihat keluarga, rakan dan orang sekeliling bahagia. Untuk keluarga dan rakan kita mudah untuk bahagiakan, kerana dekat.
"Tapi untuk orang lain, dengan cara ini saja yang boleh saya buat untuk melihat semua tersenyum dan bahagia. Hasilnya, saya terima banyak juga mesej yang berterima kasih kepada saya kerana membahagiakan mereka walau dengan sebuah video," katanya. |
|