|
Mengakui berada dalam fasa bahagia di samping isteri tercinta, penyanyi rap terkenal, MK K-Clique sedar ramai menegurnya kini lebih berisi.
Ketika ditemui OhBulan!, MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, berkata, dia tidak merasakan perbezaan pada fizikalnya selepas mendirikan rumah tangga bersama Siti Hajaar.
IG
"Badan saya sekarang tidak berisi mana pun, tapi ramai yang tegur kata saya semakin berisi. Alhamdulillah, masakan isteri sedap. Betul orang kata air tangan isteri buatkan tambah selera makan.
"Saya tidak pernah timbang berat untuk tengok perbezaan. Saya rasa macam sama je berat dulu dengan sekarang, masih kurus," ujarnya.
Sementara itu, disoal mengenai perancangan untuk menimang cahaya mata, MK berkata dia tidak mahu memaksa isteri untuk hamil. Bagaimanapun, keinginan dan usaha untuk memiliki zuriat itu ada dilakukan oleh mereka.
"Jujur belum, insya-Allah doakan, saya teringin dan kami juga berdua masih berusaha. Saya berserah kepada isteri, kerana dia yang akan mengandung dan akan melahirkan. Saya tidak boleh paksa.
"Sebabnya, apabila mengandung dia yang perlu berjalan dengan bayi selama sembilan bulan, kemudian berpantang. Semua kepada dia," jelasnya.
Untuk rekod, MK dan Siti Hajaar selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di Masjid Jamiul Huda, Ampang, Selangor, pada 16 Jun lalu.
Sumber: OHBulan |
|