Norreen berkata, tiada keperluan untuknya terus memikirkan orang yang ingin melihatnya jatuh kerana masih ada yang konsisten memberi sokongan.
"Saya terima banyak mesej beritahu terhibur melihat video saya. Kalau ada yang rasa murung, tetapi nak cuba gelak tontonlah video saya.
"Jadi, saya hanya fokus kepada orang yang menyokong saya. Tetapi, saya tak boleh cakap apa kalau ada orang hendak kecam sebab siapalah saya.
"Kalau saya yang muat naik video, saya jugalah perlu hadap apa yang bakal terjadi," katanya.
Norreen pernah menembusi kelompok Top 5 bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 berkata, dia hanya mengambil kritikan membina supaya mampu memperbaiki kekurangan diri.
"Kalau komen negatif saya hanya biarkan sahaja. Kalau dahulu, saya memang nak tahu bagaimana maklum balas netizen terhadap video dihasilkan.
"Jadi, saya boleh belajar dan ubah apa yang patut sekiranya ada orang tak suka. Sebenarnya komen seperti itu bagus juga sebab ia mengajar saya.
"Jika terlalu teruk, saya abaikan sahaja," katanya yang membintangi drama baharu, Aku Hanim arahan Uzair Haqimy yang kini disiarkan di Astro Ria.
Mengulas kerjaya lakonan begitu rancak, ibu kepada dua anak itu bersyukur bakatnya semakin diterima.
"Boleh dikatakan, saya sudah semakin sebati dengan dunia lakonan dan dalam proses cuba membiasakan diri.
"Alhamdulillah, tawaran berlakon drama atau teater termasuk program di stesen televisyen (TV) juga sentiasa ada.
"Jadi, saya fikir ini adalah peluang yang tidak boleh dipersia-siakan dan akan terus berusaha sebaiknya," katanya.
Sumber: BH Online