|
Duo pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dua jejaka tersebut sudah begitu lama menempa nama sebagai antara pereka berbakat besar di negara ini.
Bersempena pertunjukan fesyen untuk Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) yang berlangsung dua minggu lalu, Rizman Ruzaini kembali ke pentas peragaan ibu kota dengan memperagakan lebih 70 helai pakaian daripada tiga koleksi berbeza.
Koleksi RR Red Cruise 23/24, Koleksi RR Cruise 23/24 dan koleksi RR by Rizman Ruzaini 23/24 diperagakan bersempena acara fesyen tersebut.
Ujar Rizman atau nama sebenarnya Rizman Nordin, pengunjung dapat menyaksikan perbezaan busana daripada ketiga-tiga koleksi tersebut, namun masih kekal dengan DNA Rizman Ruzaini.
“Jika dilihat, koleksi kali ini nampak lebih santai kerana menerusi koleksi RR Cruise, ia dihasilkan khusus buat mereka yang mahu bercuti penuh gaya.
“Rekaannya lebih sesuai buat mereka yang mungkin mahu bersantai di pantai-pantai dengan pemilihan fabrik yang ringan,” katanya.
Bagi koleksi RR Red Cruise pula, rekaan yang diterjemahkan juga sesuai untuk acara percutian, namun lebih mewah dan sesuai untuk percutian yang lebih eksklusif.
“Bagi RR Red Cruise, ia lebih bold dan sesuai digayakan buat acara makan malam tatkala bercuti,” katanya.
Rona-rona seperti biru dan putih dengan fabrik bertekstur ringan dan beralun menjadi tema utama koleksi RR Cruise 23/24, manakala bagi koleksi RR Red Cruise 23/24 pula, rona-rona terang seperti merah dan biru menjadi pilihan Rizman Ruzaini.
Kongsi dua jejaka itu lagi, selepas 18 tahun terlibat dalam dunia rekaan fesyen, mereka akhirnya berjaya dijemput untuk mempersembahkan koleksi pakaian mereka di Minggu Fesyen Dubai (DFW) pada Oktober 2023 nanti.
Selepas memperagakan koleksinya di Kuala Lumpur Fashion Week barup-baru ini, Rizman Ruzaini menerima penghormatan besar apabila bakal memperagakan fesyennya bagi penutupan Dubai Fashion Week Oktober ini.
Ujar Rizman, dia sudah lama mengimpikan untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi rekaan-rekaan yang dihasilkan, sekali gus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Kami sentiasa mengimpikan untuk masuk ke dalam pasaran Middle East untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia dan syukur Alhamdulillah, kami diberi penghormatan besar untuk penutup Dubai Fashion Week yang akan berlangsung pada Oktober ini.
“Masih terasa bagai di awang-awangan namun kami akan berusaha untuk mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Selaku kru kreatif untuk koleksi di Dubai nanti, Wan Mohd. Ruzaini pula menyatakan bahawa segala persiapan sudah pun dirancang sebaiknya dan akan dimulakan tidak lama lagi.
“Saya selaku kru kreatif dan kita sudah pun mempunyai storyboard, contoh pakaian dan sebagainya. Ketika ini hanya menunggu masa untuk dijalankan sahaja.
“Kami juga sudah ada kumpulan Rizman Ruzaini sendiri memandangkan ini merupakan satu platform yang besar bagi jenama kami untuk membawa nama negara,” ujarnya.
Rizman Ruzaini bakal mempersembahkan 60 helaian pakaian untuk penutup DFW anjuran Arab Fashion Council dan berkongsi pentas bersama jenama gergasi fesyen dunia, Carolina Herrera dan Michael Cinco.
Sumber: Kosmo! Online |
|