CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1904|Reply: 0

[Perlis] Kerajaan negeri angkat kesenian alu bunyi

[Copy link]
Post time 26-8-2023 01:26 PM | Show all posts |Read mode

MOHD. Shukri Ramli (kiri) turut sama bermain persembahan alu bunyi yang berusia ratusan tahun bersama ahli kumpulan kesenian berkenaan di Kampung Nesam, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN



KANGAR: Kerajaan negeri menyokong dan memberi ruang bagi mengetengahkan kesenian alu bunyi yang berusia ratusan tahun dan merupakan persembahan kebudayaan kedua tertua di Perlis selepas Awang Batil.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, usaha tersebut bagi memastikan kesenian yang berusia lebih 200 tahun itu tidak pupus ditelan zaman dan dapat dikenali oleh lebih ramai masyarakat khususnya golongan muda.

Katanya, bagi peringkat permulaan, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) akan menjemput sebuah kumpulan dikenali sebagai Setia Jaya yang masih meneruskan kesenian itu untuk membuat persembahan sewaktu penilaian geopark pada 7 September depan bagi memperkenalkan seni warisan tersebut.

“Bermula daripada situ, kita akan cuba ketengahkan alu bunyi ini dalam program-program lain untuk memastikan lebih ramai orang mengenali persembahan kesenian ini,” katanya sewaktu turun padang bagi melihat sendiri persembahan alu bunyi oleh kumpulan Setia Jaya di Kampung Nesam di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, selain seni warisan Awang Batil yang sinonim dengan negeri ini, Perlis juga mempunyai kesenian dan warisan lain berusia lebih 200 tahun iaitu persembahan alu bunyi.

Alu bunyi cukup popular pada zaman dahulu yang dimainkan dalam kalangan pesawah padi khususnya selepas musim menuai. Ia juga merupakan warisan budaya tidak ketara yang menjadi persembahan kesenian kedua tertua di Perlis selepas Awang Batil.

Persembahan kesenian warisan tersebut difahamkan berasal dari Kampung Nesam, Bintong di sini dan dimainkan menggunakan peralatan mengemping padi terdiri daripada alu dan lesung.

Alu bunyi kebiasannya dimainkan secara berkumpulan antara tujuh ke lapan orang dengan diiringi alatan muzik lain seperti gong, serunai dan gendang bagi menghasilkan irama tradisional yang cukup merdu.


MOHD. Shukri Ramli (lima dari kiri) bergambar bersama ahli kumpulan Setia Jaya yang memperjuangkan kesenian alu bunyi berusia ratusan tahun di Kampung Nesam, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga akan melakukan perbincangan lanjut dengan kumpulan Setia Jaya selepas ini bagi mengembangkan persembahan berkenaan menerusi penganjuran kursus atau latihan dalam menyediakan pelapis kesenian itu.

“Selain alu bunyi, kumpulan ini masih meneruskan persembahan hadrah dan jikey jadi kita akan bincang lanjut untuk kembangkannya bagi memastikan warisan ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Sementara itu, pewaris seni persembahan tersebut, Saidin@Mahmud Hashim, 74, berkata, dia telah terlibat dengan kesenian alu bunyi sejak tahun 1973 dan kumpulannya juga telah membuat persembahan di beberapa negeri sebelum ini.

Kata Saidin, dia turut mewariskan seni persembahan itu kepada tiga anaknya dan ahli kumpulan yang lain dalam memastikan lebih ramai masyarakat mengenali tentang asal usul alu bunyi.

“Alu bunyi dipersembahkan menggunakan peralatan mengemping padi terdiri daripada alu dan lesung malah ia kebiasannya dimainkan secara berkumpulan antara tujuh ke lapan orang,” katanya.-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... kesenian-alu-bunyi/

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 12:34 PM GMT+8 , Processed in 0.066814 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list