View: 2298|Reply: 0
|
Man United jaguh Perisai Komuniti
[Copy link]
|
|
Man United jaguh Perisai Komuniti
Zlatan Ibrahimovic menjulang trofi Perisai Komuniti selepas membantu Manchester United menewaskan Leicester 2-1 di Wembley pada 2016.
LONDON: Pertembungan Arsenal dengan Manchester City bagi merebut Perisai Komuniti di Stadium Wembley malam ini adalah edisi ke-101 pertandingan itu yang dimainkan antara pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL) dan juara Piala FA musim lalu.
Namun disebabkan City memenangi kedua-dua kejuaraan EPL dan Piala FA musim 2022-23, Arsenal sebagai naib juara EPL menjadi lawan mereka.
Ia adalah ulangan perlawanan Perisai Sumbangsih pada 1934 yang dimenangi Arsenal 4-0 dan aksi Perisai Komuniti 2014 yang juga dimenangi The Gunners 3-0.
Perlawanan itu pada awalnya dijadualkan dengan sepak mula jam 10.30 malam ini bagaimanapun selepas dikritik hebat penyokong The Citizens yang merungut mungkin terlewat untuk berkunjung ke London disebabkan kesesakan lalu lintas, Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris melewatkannya setengah jam.
Jiran tetangga City, Manchester United muncul pasukan paling berjaya dalam pertandingan itu dengan 17 kejuaraan selain empat berkongsi, diikuti Arsenal (15 kejuaraan, satu berkongsi), Liverpool (11 kejuaraan, lima berkongsi) dan Everton (lapan kejuaraan, satu berkongsi).
Perisai Sumbangsih FA, seperti yang dikenali sebelum ini, dimainkan buat kali pertama pada 1908.
Pada mulanya ia hanyalah perlawanan "Perisai Sherif London" yang dimainkan secara tahunan antara kelab profesional terbaik dan kelab amatur terbaik.
Manchester United, yang baru muncul juara Liga Bolasepak buat kali pertama, menewaskan juara Liga Selatan, Queens Park Rangers untuk memenangi perlawanan sulung Perisai Sumbangsih.
United menang 4-0 selepas seri 1-1, dengan kedua-dua perlawanan dilangsungkan di Stamford Bridge namun tiada perlawanan Perisai dimainkan secara ulangan sejak itu.
Pada 1974, Setiausaha FA Ted Croker mencadangkan Perisai Sumbangsih (nama pertandingan dari 1908 hingga 2002) dimainkan di Wembley sebagai pembuka tirai musim baharu liga.
Sebelum 1974, ketika pertandingan itu agak kurang berprestij, perlawanan itu dimainkan di beberapa gelanggang kelab dan sering membabitkan pasukan yang tidak pernah menang apa-apa trofi.
Perisai Sumbangsih kemudian menjadi salah satu daripada perlawanan penting musim domestik dan penonton seramai 63,317 menyaksikan Arsenal menewaskan Manchester United di Stadium Millennium, Cardiff pada Ogos 2004.
Perlawanan itu disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dengan penonton di kaca televisyen mencecah 270 juta.
Ketika Wembley bertindak sebagai hos dari 1974 hingga 2000, lebih £5 juta (RM29 juta) diagihkan oleh FA kepada badan kebajikan di seluruh Britain, dengan kebanyakan pertubuhan NGO itu dicalonkan oleh kelab yang bertanding.
Pada 2012, aksi Perisai Komuniti dilangsungkan di Villa Park, Birmingham kerana Wembley digunakan bagi temasya Sukan Olimpik London 2012.
Begitu juga tahun lalu apabila juara Piala FA, Liverpool menundukkan Manchester City 3-1 di Stadium King Power, Leicester kerana perlawanan akhir Kejohanan Euro 2022 Wanita diadakan di Wembley.
Pemenang Perisai Komuniti
2010: Man United 3–1 Chelsea
2011: Man United 3–2 Man City
2012: Man City 3–2 Chelsea
2013: Man United 2–0 Wigan
2014: Arsenal 3–0 Man City
2015: Arsenal 1–0 Chelsea
2016: Man United 2–1 Leicester City
2017: Arsenal 1–1 Chelsea (Arsenal menang penalti 4-1)
2018: Man City 2–0 Chelsea
2019: Man City 1–1 Liverpool (City menang penalti 5-4)
2020: Arsenal 1–1 Liverpool (Arsenal menang penalti 5-4)
2021: Leicester 1–0 Man City
2022: Liverpool 3–1 Man City
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan ... uh-perisai-komuniti
|
|
|
|
|
|
|
| |
|