View: 2128|Reply: 0
|
Ronaldo pecah rekod lagi
[Copy link]
|
|
Cristiano Ronaldo meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan US Monastir 4-1 pada aksi Piala Juara-Juara Kelab Arab di Taif, awal pagi tadi. – Foto Twitter
RIYADH: Cristiano Ronaldo mencipta satu lagi rekod jaringan ketika Al-Nassr menundukkan US Monastir 4-1 pada aksi Piala Juara-Juara Kelab Arab di Stadium Antarabangsa Raja Fadh, awal pagi tadi.
Ronaldo memulakan kebangkitan dengan menanduk masuk pada minit ke-74, menjaringkan gol ke-145 menerusi tandukan sekali gus mengatasi rekod terdahulu yang dipegang Gerd Muller sebanyak 144 gol.
Ia juga kemenangan pertama Al-Nassr pada kejohanan itu musim ini selepas seri tanpa jaringan dengan Al-Shabab pada aksi pertama peringkat kumpulan.
Al-Nassr memulakan perlawanan itu dengan corak menyerang bertali-arus apabila bekas pemain Inter Milan, Marcelo Brozovic mengemudi bahagian tengah di samping bekas kapten Lens, Seko Fofana.
Pada minit ke-42 mereka memecah kebuntuan menerusi gerakan yang dimulakan Brozovic. Hantaran jauh pemain Croatia itu dari bahagian kiri disambut Abdulrahman Ghareeb yang mengumpan kepada Anderson Talisca untuk membuka tirai jaringan.
Cristiano Ronaldo melakukan percubaan menerusi tandukan pada aksi Piala Juara-Juara Kelab Arab di Taif, awal pagi tadi. – Foto Twitter
Bagaimanapun kesilapan pertahanan Al-Nassr, Ali Lajami yang cuba mengeluarkan bola sebaliknya menanduk masuk ke pintu golnya sendiri membolehkan lawan menyamakan kedudukan pada minit ke-64.
Kemudian tampil Ronaldo, yang meledak gol ke-839 kariernya dengan stadium bergema susulan jaringan memecah rekodnya itu.
Tempo permainan nyata menjadi milik Al-Nassr selepas itu dengan Abdulelah Al-Amri dan Abdulaziz Saud Al Elewai menyumbat dua gol dalam dua minit terakhir.
Kemenangan itu melonjakkan Al-Nassr ke tangga teratas kumpulan mereka, sama mata dengan Al-Shabab tetapi unggul menerusi perbezaan jaringan.
Al-Nassr bertemu kelab Mesir, Zamalek SC Khamis ini pada aksi terakhir peringkat kumpulan manakala Monastir berdepan Al-Shabab.
Semalam, Karim Benzema membantu Al-Ittihad melayakkan diri ke suku akhir kejohanan itu selepas gol tunggalnya pada minit ke-63 menyaksikan mereka menewaskan CS Sfaxien dari Tunisia 1-0. Benzema turut meledak satu gol ketika menang 2-1 ke atas Esperance pada aksi pertama. – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... do-pecah-rekod-lagi |
|
|
|
|
|
|
| |
|