View: 281|Reply: 0
|
Rumah Bonda Dapat Kebenaran Cabar Tindakan Penutupan Premis
[Copy link]
|
|
Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, membenarkan Rumah Bonda untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan lak (sita) rumah oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, dua tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama-sama Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah sebulat suara memutuskan keputusan itu selepas membenarkan rayuan rumah kebajikan berkenaan.
Kamaludin dalam keputusannya berkata, panel sebulat suara bersetuju terdapat merit dalam rayuan Rumah Bonda dan semakan kehakiman berkenaan perlu dibicarakan secara substantif di Mahkamah Tinggi.
PERTUBUHAN Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Rumah Bonda disita JKM Wilayah Persekutuan susulan dakwaan penderaan seorang remaja Sindrom Down. FOTO Arkib NSTP
"Terdapat merit dalam rayuan ini dan kami bersetuju isu ini perlu dibicarakan secara substantif. Kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi adalah dibenarkan," katanya dalam prosiding yang dijalankan secara sidang video, hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman berkenaan di Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos ini.
Dalam prosiding yang dijalankan secara sidang video itu, peguam Asiah Abd Jalil mewakili Rumah Bonda selaku perayu manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Idayu Amir bertindak bagi pihak Pengarah JKM Wilayah Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Rumah Bonda merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 November 2021 yang menolak permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Pengarah JKM Wilayah Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung tindakan lak itu.
Rumah Bonda yang memfailkan permohonan itu menerusi pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali antara lain mendakwa Tindakan Notis Lak dikeluarkan JKM pada 9 Julai 2021 dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap remaja berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella di premis berkenaan.
Melalui permohonan difailkan pada 13 Ogos 2021 itu, Rumah Bonda mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penderaan terbabit sedangkan remaja berkenaan tiada kaitan dan bukan penghuni rumah itu.
Menurut rumah kebajikan itu, remaja terbabit sebaliknya anak jagaan Siti Bainun yang diperintahkan oleh Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur pada 14 Julai 2021 kepada Siti Bainun atas kapasiti peribadi sebagai Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
Terdahulu, Asiah berhujah bahawa Rumah Bonda didaftarkan sejak awal 2019 dan borang serta surat sokongan yang ditandatangani oleh kedua-dua responden sudah dihantar kepada JKM Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, Jabatan Bomba sudah meluluskan premis itu dan Jabatan Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menetapkan tarikh untuk membuat pemeriksaan, bagaimanapun pandemik Covid-19 menyukarkan dua agensi itu membuat pemeriksaan.
Katanya, premis berkenaan kemudiannya disita dan tindakan lak dibuat secara terburu-buru selepas lima hari kes Bella tular di media sosial pada 2001.
Sementara itu, Nur Idayu pula berhujah bahawa dakwaan kes itu membabitkan kepentingan awam adalah tidak benar kerana tindakan lak dilakukan selepas rumah berkenaan tidak berdaftar dengan JKM Wilayah Persekutuan dan beroperasi secara haram.
Katanya, walaupun dalam proses pendaftaran ia tetap dikira tidak berdaftar dan beroperasi secara haram, bagaimanapun lak dibuka selepas Rumah Bonda membayar kompaun.
Sumber: Harian Metro |
|
|
|
|
|
|
| |
|