|
Keadaan Haaland lebih baik berbanding musim lalu - Guardiola [VIDEO]
HAALAND (kanan) menjaringkan dua gol ketika Manchester City menang 5-3 ke atas Yokohama F Marinos di Tokyo, semalam. FOTO REUTERS
Tokyo: Pep Guardiola memberi amaran awal kepada pencabar Manchester City selepas aksi pertama jelajah pramusim di Jepun, semalam, dengan menyatakan keadaan penyerang Erling Haaland, lebih baik berbanding musim lalu.
Haaland cemerlang apabila menjaringkan dua gol selepas dimasukkan pada babak kedua untuk membantu City bangkit daripada ketinggalan dua gol dan mengatasi juara Liga-J, Yokohama F-Marinos, 5-3, di Tokyo.
Penyerang Norway itu menjaringkan 52 gol pada musim sulungnya bersama City, musim lalu, termasuk rekod 36 gol di Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Berbanding tempoh ini pada musim lalu, dia kelihatan lebih cergas, lebih baik berbanding ketika dia hadir pada musim lalu," kata Guardiola kepada media selepas perlawanan di Tokyo.
"Sudah tentu, dia kelihatan baik, tetapi masih dalam perjalanan untuk berada pada tahap terbaik seperti semua orang."
Walaupun Haaland mengemudi City merangkul treble musim lalu dengan gelaran EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), jumlah jaringannya agak menurun pada hujung saingan.
Penyerang itu yang berusia 23 tahun pada Jumaat lalu, gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan berturut-turut - iaitu kemarau jaringan paling lama sejak dia menyertai City.
Mengimbas kembali detik itu, Guardiola sedar kepentingan Haaland menjaringkan dua gol pada perlawanan pertama di Jepun.
"Kami cukup kenal Haaland. Dalam masa beberapa minggu lagi, dia akan berada dalam keadaan lebih baik berbanding sekarang," kata Guardiola.
John Stones, Julian Alvarez dan Rodri turut menjaringkan gol pada aksi sulung anak buah Guardiola selepas menang 1-0 ke atas Inter Milan di final UCL, bulan lalu.
Hanya empat pemain yang beraksi di final itu diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Marinos di Tokyo, dengan kapten, Ilkay Gundogan meninggalkan kelab itu untuk menyertai Barcelona.
Haaland, Rodri, Ruben Dias dan Bernardo Silva kemudian diturunkan pada babak kedua dan Guardiola mengesahkan kecederaan pemain tengah, Kevin De Bruyne semakin pulih.
City akan menentang Bayern Munich di Tokyo, Rabu ini sebelum bergerak ke Seoul untuk berdepan Atletico.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... alu-guardiola-video
|
|