|
Walaupun penyanyi dan komposer muda, Yonnyboii, 25, tidak berjaya menembusi kelompok Top 5 Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 namun dia sama sekali tidak merasakan dirinya gagal.
Baginya, kemenangannya dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 bagi kategori Album Terbaik menerusi album Yonny (Deluxe Version) sudah memadai setakat ini.
"Tak mengapa tak berjaya, kerana ia memberikan ruang kepada penyanyi lain untuk disenaraikan. Meskipun saya tidak pernah menang, tetapi dicalonkan, cukup baik.
"Dan saya juga sudah menang satu anugerah di AIM, jadi saya sudah cukup gembira dengan kejayaan itu.
"Jadi, kali ini, berikanlah ruang pada penyanyi lain pula untuk membawa pulang trofi," katanya kepada BH Online.
Kata pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu lagi, dia juga tidak menyalahkan peminat, malah terharu undian yang diterima, lebih lagi, isterinya, Nik Nazira Narriman.
"Saya tidak salahkan peminat tidak mengundi saya. Sebab saya tahu mereka sudah berusaha, malah isteri juga turut berusaha.
"Setiap hari, isteri mengundi saya, tetapi jujurnya saya tidaklah berharap untuk menang, apatah lagi, saya melihat pesaing saya semuanya hebat belaka.
"Sekiranya dicalonkan lagi tahun depan, saya terbuka untuk terus bersaing. Ada rezeki, adalah," katanya.
Sumber: BH Online
|
|