View: 162|Reply: 0
|
Nilai skuad Chelsea, United susut lebih RM600 juta
[Copy link]
|
|
Bintang muda Argentina, Enzo Fernandez antara pemain yang baharu dibeli dalam era Todd Boehly di Chelsea. – Foto AFP
LONDON: Nilai semasa skuad Chelsea menyusut £124 juta (RM744 juta) daripada perbelanjaan yang dikeluarkan manakala Manchester United turut susut £115 juta (RM690 juta) tetapi nilai Arsenal meningkat £343 juta (RM2.05 bilion).
The Blues menghuni tangga tercorot penilaian Transfermarkt mengenai nilai skuad Liga Perdana Inggeris (EPL), sesudah membelanjakan kira-kira £880 juta (RM5.28 bilion) untuk mengumpul pemain semasa mereka, yang mempunyai anggaran nilai kolektif hanya £756 juta (RM4.53 bilion).
Ia menjelaskan kenapa pemilik Chelsea, Todd Boehly melepaskan ramai pemain pada musim panas ini selepas berbelanja mewah sepanjang dua jendela perpindahan terakhir untuk membeli pemain termasuk Enzo Fernandez, Mykhailo Mudryk dan Wesley Fofana.
Ramai pemain yang diwarisi dalam tempoh pemilikan Boehly susut nilai mereka dengan ketara, termasuk penyerang Romelu Lukaku, yang menelan kos £97.5 juta (RM585 juta) pada 2021 tetapi kini dinilai oleh Transfermarkt hanya £34 juta (RM204 juta).
United satu lagi kelab bersedia untuk mengurangkan kerugian mereka ke atas beberapa pemain ketika mereka menjual untuk mengumpul dana buat Erik ten Hag membentuk semula skuadnya pada musim panas ini.
Angka menunjukkan The Reds membelanjakan hampir £830 juta (RM4.98 bilion) untuk membentuk skuad semasa mereka tetapi ia hanya mempunyai nilai kumulatif kira-kira £715 juta (RM4.29 bilion).
Harry Maguire dan Jadon Sancho antara pemain United yang mana nilai mereka merudum dengan teruk selepas kelab itu membayar masing-masing £80 juta (RM480 juta) dan £73 juta (RM438 juta) untuk mengikat mereka.
Statistik Transfermarkt menunjukkan Wolves dan Sheffield United dua lagi kelab EPL yang mempunyai nilai skuad kolektif kurang daripada apa yang mereka bayar untuk membeli pemain.
Namun kerugian masing-masing sebanyak £20.5 juta (RM123 juta) dan £1 juta (RM6 juta) jauh lebih rendah berbanding Chelsea dan United.
Arsenal pula meraih nilai yang besar daripada skuad mereka.
Walaupun pemain Mikel Arteta menelan belanja hanya kira-kira £572 juta (RM3.4 bilion) untuk dikumpulkan, mereka mempunyai anggaran nilai £915 juta (RM5.49 bilion).
Ia mencerminkan pembelian yang berhemah di pasaran tetapi juga membuktikan perkembangan pemain tempatan seperti Bukayo Saka, yang tidak menelan sebarang kos tetapi kini dianggarkan bernilai £102 juta (RM612 juta), menurut Transfermarkt. – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... ut-lebih-rm600-juta |
|
|
|
|
|
|
| |
|