CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 156|Reply: 0

[Perlis] Prosiding kes cerai di Perlis akan diadakan secara tertutup

[Copy link]
Post time 19-6-2023 10:37 AM | Show all posts |Read mode
Prosiding kes cerai di Perlis akan diadakan secara tertutup


Aizat Sharif
am@hmetro.com.my



GAMBAR hiasan




Kangar: Mahkamah Syariah Negeri Perlis bakal melaksanakan sesi perbicaraan secara tertutup bagi kes perceraian serta dijalankan secara terhad antara pihak yang berkhilaf sahaja, mulai 1 Julai depan.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keputusan berkenaan dibuat melalui arahan Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Jaidi Ahmad setelah dipersembah maklum dan diperkenankan oleh baginda sendiri selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

"Perbicaraan secara tertutup ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) bermula 1 Julai hadapan dan keputusan ini dibuat adalah bagi menjaga aib di antara pihak yang terbabit terutamanya yang membabitkan kes yang mendedahkan keaiban peribadi.

"Selain itu juga, keputusan ini turut dibuat bagi mengelakkan unsur 'ghibah' dan bahkan perkara yang membawa kepada fitnah," titahnya kepada media menghadiri Program Forum Safar Ilmu MAIPs bersempena cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis di Masjid Al Hussain, Kuala Perlis di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan Mufti Perlis Datuk Arif Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Titahnya lagi, pelaksanaan berkenaan dibuat hasil daripada penelitian terhadap amalan yang dilaksanakan di Doha, Qatar melalui pengalaman Program Safar Ilmu MAIPs terdahulu serta dilaksanakan kajian mendalam terhadap kesannya sebelum diimplementasikan di Perlis.

Sementara itu, Dr Mohd Asri berkata, Islam menegaskan kewajipan menutup aib peribadi yang tiada kepentingan untuk diketahui dan diulas oleh pihak lain apatah lagi di zaman ini yang isu peribadi mudah dimanipulasikan.

"Masyarakat sering membuat penilaian sendiri tentang hubungan rumah tangga orang lain tanpa memahami situasi yang sebenarnya, padahal tiada kepentingan untuk mereka tahu apatah lagi memberikan komentar.

"Hal itu akan membabitkan bukan sahaja yang terbabit dalam hal itu secara langsung tapi maruah ahli keluarga yang lain.

"Kita tidak mahu mahkamah syariah yang bertujuan menegakkan syariah menjadi punca pelanggaran Syariah dan dosa dalam masyarakat," katanya.



Disiarkan pada: Jun 19, 2023 @ 10:04am










Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-5-2024 09:43 PM GMT+8 , Processed in 0.061378 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list