|
SEBAHAGIAN pemain negara sudah memulakan sesi latihan menjelang dua aksi persahabatan nanti.
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mendedahkan sasaran untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia menjelang dua aksi persahabatan yang bakal dilalui pasukan bimbingannya itu.
Skuad negara ketika ini berada di ranking ke-138 carta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan aksi Tier 1 menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea adalah medan terbaik untuk memperbaiki kedudukan tersebut.
“Pertemuan dengan dua negara Oceania ini sedikit berbeza dan mencabar bagi kita kerana pasukan itu memiliki kelebihan fizikal, jadi ia ujian yang baik untuk Malaysia.
“Saya ingin melihat bagaimana pemain-pemain boleh mengawal permainan selain meneruskan momentum kemenangan di gelanggang sendiri untuk meningkatkan ranking FIFA,” katanya.
Pan-gon berkata, Harimau Malaya juga mahu memenangi dua perlawanan di Terengganu kerana ini kali pertama Malaysia beraksi di sini dan berharap anak-anak buahnya dapat menampilkan persembahan terbaik.
Dalam pada itu, Pan-gon turut mengesahkan bahawa penyerang muda KL City FC, Haqimi Azim Rosli digugurkan daripada skuad Harimau Malaya akibat masalah kesihatan.
Begitupun, jurulatih berasal Korea Selatan itu berkata, buat masa ini beliau tidak berhasrat untuk mendapatkan pengganti di posisi tersebut sebaliknya hanya mahu menguji baki 26 pemain sedia ada.
“Kami menunggu kehadiran Haqimi sehingga semalam (kelmarin), namun dia terpaksa diketepikan untuk dua perlawanan persahabatan ini kerana demam,” jelasnya.
Antara 14 pemain yang sudah menyertai latihan itu ialah Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Lee Tuck, Faisal Abdul Halim dan Paulo Josue.
Turut memperkuatkan skuad Harimau Malaya kali ini adalah Junior Eldstal, Mukhairi Ajmal Mahadi, Daniel Ting, Stuart Wilkin, Endrick Dos Santos dan penjaga gol, Azri Abd. Ghani.
Bagaimanapun, kelibat dua pemain iaitu penyerang, Shahrel Fikri Mohd. Fauzi dan tonggak muda berpengkalan di Finland, Nooa Laine difahamkan akan tiba dalam masa terdekat.
https://www.kosmo.com.my/2023/06 ... eningkatan-ranking/ |
|