|
Faisal tak gentar saiz fizikal lawan
FAISAN (kanan) semasa menjalani sesi latihan menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Kepulauan Solomon pada 14 Jun ni di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Kuala Terengganu: Pemain sayap lincah negara, Mohamad Faisal Halim tidak begitu bimbang dengan saiz fizikal pasukan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea biarpun sedar ia sedikit sebanyak bakal memberikan kelebihan kepada pasukan lawan.
Jelas pemain Selangor FC itu, faktor berkenaan bukannya menjadi penyebab utama kemenangan sesebuah pasukan, sebaliknya ia lebih kepada taktikal barisan kejurulatihan dan kemahiran pemain itu sendiri.
Tambah pemain bertubuh kecil yang beraksi bersama Terengganu FC (TFC) musim lalu itu, pemain yang membarisi skuad kebangsaan juga turut mempunyai fizikal yang mampu menyaingi pasukan lawan.
"Jika nak dibandingkan faktor fizikal, sudah pasti pasukan lawan lebih berbanding kita, tapi faktor itu bukan segalanya tetapi ia lebih kepada pemain itu sendiri serta taktikal yang bakal direncanakan barisan kejurulatihan.
"Malah sebelum ini ketika kita menentang pasukan yang mempunyai saiz fizikal lebih daripada pemain kebangsaan, kita berjaya beraksi dengan baik malah mampu merakam kemenangan.
"Namun saya tidak nafikan saiz fizikal penting, bagaimanapun saya bersama rakan sepasukan tekad memperagakan aksi terbaik dan bertenaga untuk berdepan Kepulauan Solomon walaupun skuad itu berada di ranking 134 dunia iaitu lebih baik daripada Malaysia, (138) selain Papua New Guinea (159)," katanya ketika ditemui ketika sidang media di Kuala Terengganu, petang ini.
Terdahulu pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon akui lawannya yang bakal ditentang pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 14 dan 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak pastinya mempunyai saiz fizikal lebih berbanding pemain kebangsaan, namun jelasnya ia bakal menjadi strategi buatnya untuk membentuk pasukan yang lebih mantap sebelum Kejohanan Piala Asia 2023.
Mengulas lanjut pemain yang lebih mesra dipanggil 'Mickey' itu akui aksi skuad kebangsaan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak sedikit sebanyak bakal memberikan kelebihan kepadanya kerana pernah menyarung jersi TFC selama dua musim bermula 2021.
Jelas pemain kelahiran Pulau Pinang itu, misinya sudah pasti mahu membantu Harimau Malaya merakam kemenangan berdepan dua pasukan itu.
"Ia sedikit sebanyak bakal memberikan kelebihan kepada saya lebih-lebih lagi beraksi di depan bekas penyokong saya, lagipun saya begitu merindui sorakan mereka, harap sokongan tidak berbelah bahagi," katanya.
Ketika ditanya adakah dia sekali lagi bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai kapten skuad kebangsaan, pemain berusia 25 tahun itu akui sedia menggalas amanah itu dalam dua pertemuan berkenaan.
"Jika diberi tanggungjawab oleh jurulatih, saya sudah bersedia, tapi semuanya bergantung kepada jurulatih, yang penting saya perlu memperagakan aksi terbaik lebih-lebih lagi beraksi di depan bekas penyokong pasukan saya," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -saiz-fizikal-lawan
|
|