Kapten Manchester City, Ilkay Gundogan dilaporkan akan menyertai Barcelona selepas final Liga Juara-Juara Eropah. - Foto AFP
MANCHESTER: Kapten Manchester City, Ilkay Gundogan dilaporkan akan menyertai Barcelona beberapa hari selepas final Liga Juara-Juara Eropah menentang Inter Milan.
Pemain tengah Jerman itu akan menyertai kelab gergasi Sepanyol berkenaan sebaik kontraknya bersama City tamat bulan ini.
City berharap dapat memujuk pemain 32 tahun itu untuk kekal di Etihad, namun media Sepanyol melaporkan perpindahan ke Barca untuk kontrak tiga tahun dilihat lebih menarik.
Selepas menyertai skuad kendalian Pep Guardiola pada tahun 2016, Gundogan membantu City meraih pelbagai kejuaraan termasuk lima gelaran Liga Perdana Inggeris.
Gundogan akan menyertai Barcelona sebaik kontraknya bersama City tamat bulan ini. - Foto Reuters
Gundogan (kanan) menjulang trofi Piala FA selepas menewaskan Manchester United pada final di Stadium Wembley, London, minggu lalu. - Foto AFP
Hanya trofi Liga Juara-Juara Eropah belum berjaya dijulang City dan malam ini adalah peluang terbaik buat Gundogan untuk melengkapkan koleksi kejuaraannya bersama kelab Inggeris itu.
Gundogan begitu hampir menjadi juara Eropah sebanyak dua kali - tewas bersama Borussia Dortmund pada final tahun 2013 dan bersama City pada tahun 2021.
Selepas menjadi wira City dengan meledak dua gol, termasuk gol terpantas kejohanan ketika final Piala FA menentang Manchester United, Gundogan boleh meninggalkan Etihad dengan gelaran juara treble selepas turut memenangi Liga Perdana Inggeris. - AGENSI https://www.bharian.com.my/sukan ... al-sertai-barcelona