|
Penyerang Manchester City, Erling Haaland dari Norway mendahului senarai pemain bola sepak paling bernilai di dunia. - Foto AGENSI
LONDON: Erling Haaland mendahului senarai pemain bola sepak paling bernilai di dunia - manakala dua bintang England turut berada dalam kelompok lima teratas.
Penyerang 22 tahun Norway itu mengharungi musim pertama cemerlang bersama Manchester City - menjaringkan 52 gol serta memecahkan beberapa rekod jaringan.
Bekas pemain Borussia Dortmund itu sudah mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sebelum membantu pasukannya menewaskan tetangga, Manchester United 2-1 pada final Piala FA di Wembley.
Hanya Inter Milan menjadi penghalang mereka pada final Liga Juara-Juara Eropah hujung minggu ini untuk Manchester City meraih kejuaraan treble bersejarah.
Haaland, yang mempunyai kontrak di Etihad sehingga tahun 2027, mendahului senarai berkenaan dengan nilai 210.8 juta pound (RM1.21 bilion).
Di tangga kedua, penyerang Real Madrid, Vinicius Jr dari Brazil yang dinilaikan pada 168.9 juta pound (RM970.49 juta).
Pemain 21 tahun Arsenal, Bukayo Saka di tempat ketiga diikuti rakan sepasukan England, Jude Bellingham.
Seorang lagi pemain Real Madrid, Rodrygo, 22, yang juga dari Brazil, berada di tangga kelima.
Pemain Man City, Phil Foden berada di tangga kesembilan, mengatasi bintang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe yang melengkapkan senarai 10 teratas.
Sementara itu, pemain paling bernilai Manchester United hanya berada di tangga ke-27 dan dia bukanlah penjaring terbanyaknya, Marcus Rashford, sebaliknya pemain sayap Brazil, Antony. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... pak-paling-bernilai |
|