|
BOWEN gigih berlatih menjelang final Liga Konferens menentang Fiorentina. FOTO REUTERS
Prague: Jarrod Bowen berkata, dia mahu menjaringkan gol untuk setiap bayi kembarnya apabila West Ham berdepan Fiorentina di final Liga Konferens Europa, awal pagi esok.
"Anak kembar itu berada di sini sekarang, jadi saya mahu menjaringkan gol untuk mereka. Satu gol mungkin sudah memadai, tetapi jika boleh, saya mahu dua gol," katanya kepada media hari ini.
Pemain sayap itu yang menyertai West Ham dari Hull pada 2020, memiliki bayi perempuan kembar berusia dua minggu bersama bintang Love Island, Dani Dyer.
Bowen menyifatkan final ini sebagai antara perlawanan terpenting dan terbesar dalam kariernya.
"Saya baru menyertai kelab ini tiga tahun lalu dan jika anda beritahu saya bahawa kami akan bermain di final peringkat Eropah tiga tahun lalu, saya pasti tidak percaya," katanya.
West Ham memiliki rekod agak baik pada kempen peringkat Eropah sejak dua musim lalu.
Pada 2021/22, mereka mara ke separuh akhir Liga Europa sebelum tersingkir di tangan Eintracht Frankfurt yang kemudiannya muncul juara.
Musim ini, mereka menang 13 daripada 14 perlawanan Liga Konferens yang dianggap sagu hati selepas menamatkan musim di Liga Perdana Inggeris (EPL) hampir dengan kelompok bawahan.
Mereka hanya mampu menang 11 daripada 38 perlawanan liga.
"Tahun lalu, sudah pasti kami kecewa apabila tewas di separuh akhir, jadi ia mungkin memberi motivasi tambahan untuk lebih cemerlang pada musim ini," kata Bowen.
Trofi tunggal West Ham di Eropah adalah Piala Pemenang Piala pada 1965 menerusi skuad yang menampilkan bintang England yang memenangi Piala Dunia iaitu Bobby Moore dan Geoff Hurst.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... l-untuk-bayi-kembar |
|