|
UNITED mengesahkan slot Liga Juara-Juara musim depan selepas berjaya menewaskan Chelsea di Old Trafford awal pagi semalam. – AFP
MANCHESTER – Manchester United melakar kemenangan bergaya ke atas seteru tradisi, Chelsea dengan keputusan 4-1 sekali gus mengesahkan slot automatik ke kancah Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Pada saingan di Old Trafford itu, skuad The Red Devils tidak mempunyai masalah untuk meraih tiga mata berharga hasil jaringan Casemiro, Anthony Martial, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford, manakala Joao Felix meledak gol saguhati buat pasukan pelawat.
Pengendali United, Erik Ten Hag mengakui kemenangan yang diraih menjadi bukti bahawa pasukannya layak menamatkan saingan EPL musim ini di kelompok empat kelab terbaik sekali gus beraksi di kejohanan berprestij Eropah musim ini.
“Saya sangat gembira dengan keputusan ini kerana penting buat kita bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara. Semua orang tahu sukar untuk meraih slot tersebut kerana EPL adalah saingan liga terbaik dunia dan banyak pasukan berkualiti.
“Aksi kali ini menjadi bukti bahawa kita layak menamatkan kempen di kelompok empat pasukan teratas kerana kita mengharungi musim yang positif. Namun, fokus seterusnya adalah pada aksi terakhir dan saya harap kedudukan ketiga ini dapat dikekalkan,” katanya.
Sementara itu, pengendali import dari Belanda itu turut resah selepas dua pemain utama, Antony dan Luke Shaw mengalami kecederaan.
“Kecederaan Antony dilihat agak serius, tetapi kami perlukan pengesahan daripada pegawai perubatan pasukan sebelum membuat rumusan lanjut mengenai situasinya. Keputusan untuk mengeluarkan Shaw lebih awal juga dibuat kerana kami tidak mahu mengambil sebarang risiko,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/05 ... li-warnai-aksi-ucl/ |
|