|
Pelakon, Riezman Khuzaimi sebagai jurucakap penganjur Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia sudah bersedia dengan sebarang kecaman dari pihak umum.
Selebriti berusia 53 tahun itu juga menyedari akan ada segelintir pihak yang bakal mempolitikkan konsert dangdut tersebut dan mendesak untuk membatalkannya.
Riezman Khuzaimi (tiga kiri) bersama penyanyi dangdut Indonesia, Ani Mayuni pada majlis sidang media Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia. FOTO Rohanis Shukri.
"Seperti yang kita tahu kuasa kecaman oleh netizen amat hebat. Saya tahu sebab saya pernah mengalami kecaman daripada mereka.
"Apa yang dapat dilakukan adalah melakukan sebaik mungkin dengan memberi garis panduan kepada penyanyi-penyanyi dangdut ketika membuat persembahan," katanya kepada Harian Metro.
Tambah Riezman, tindakan segelintir pihak yang menghalang peminat untuk berhibur dan menonton konsert adalah tidak adil kerana Malaysia sebuah negara demokrasi.
Mengulas lanjut mengenai konsert yang akan diadakan di Bukit Kiara Equestrian Resort pada 12 Ogos hadapan, Riezman berkata, selepas pasca pandemik Covid-19 banyak konsert artis antarabangsa dianjurkan di negara ini dan mendorong pihaknya untuk turut serta menganjurkannya.
"Bukan sahaja konsert daripada artis negara seberang malahan juga artis tempatan kita turut melakukan benda sama.
"Saya pun ketika ini tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk menerbitkan sebarang drama atau filem daripada produksi saya, jadi saya menterjebakkan diri untuk menjadi penganjur konsert ini," katanya.
Dalam masa sama, Riezman ingin cuba menghidupkan semula genre dangdut di Malaysia yang kurang diketengahkan dalam industri tanah air.
Secara tidak langsung konsert ini juga akan mengintegrasikan genre dangdut dalam kalangan masyarakat moden dan industri muzik.
Sumber: Harian Metro |
|