Sebuah gudang dijadikan tempat penyimpanan arak seludup di Kawasan Perindustrian Gelang Patah, di Johor Bahru diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Dalam serbuan itu, 7,242 tin dan botol minuman keras bernilai RM230,000 dirampas.
MISBAHUDIN PARMIN (dua dari kanan) menunjukkan minuman keras yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah gudang di Gelang Patah pada sidang akhbar di Menara Kastam, Johor Bahru.
Pengarahnya, Misbahudin Parmin berkata, kesemua minuman keras pelbagai jenama itu dipercayai diseludup dari Eropah dan China pada 17 April lalu.
“Hasil pemeriksaan terhadap premis yang tidak berpenghuni itu, kita menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai.
“Walau bagaimanapun, tiada individu ditahan dalam kes ini dan usaha mengesan pemilik premis sedang giat dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam, di sini hari ini.
Kesemua minuman keras itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Dalam kes berasingan, Misbahudin berkata, pihaknya menyita sebuah kontena yang membawa muatan mangkuk tandas di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, 5 Mei lalu.
“Hasil pemeriksaan silang ke atas dokumen pengikraran, dagangan yang diikrar adalah peralatan kebersihan, tidak sama dengan muatan yang terdapat dalam kontena.
“Tindakan itu boleh menyebabkan berlaku ketirisan cukai berjumlah RM38,000. Sehubungan itu, seorang lelaki tempatan, iaitu ejen penghantaran berusia 48 tahun ditahan,” katanya sambil memberitahu mangkuk tandas itu bernilai RM88,145.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(c) Akta Kastam 1967.
Sumber: UTUSAN |