|
VINICIUS sekali lagi menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman oleh penonton. -FOTO AFP
Valencia, Sepanyol: Vinicius Junior berkata La Liga "liga perkauman" apabila diejek penonton berikutan kekalahan Real Madrid 0-1 di Valencia.
Pemain Brazil berusia 22 tahun itu diejek penonton tuan rumah berbaur perkauman yang ditujukan terus kepadanya pada separuh masa kedua.
Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois berkata dia mendengar nyanyian monyet ketika babak awal permainan manakala jurulatih Los Blancos, Carlo Ancelotti berkata terdapat "suasana perkauman" di Mestalla.
"Ia bukan kali pertama, bukan yang kedua dan bukan yang ketiga. Perkauman adalah perkara biasa dalam La Liga. Pesaing menganggap ia perkara biasa, Persekutuan (Sepanyol) juga menganggap ia perkara biasa dan pihak lawan menggalakkannya," tulis Vinicius di Instagram.
"Liga yang pernah menjadi milik Ronaldinho, Ronaldo, Cristiano (Ronaldo) dan (Leo) Messi, kini menjadi milik perkauman.
"Negara yang indah, yang mengalu-alukan saya dan yang saya cintai, tetapi negara yang telah bersetuju untuk mengeksport imej negara perkauman ke dunia.
"Saya minta maaf kepada orang Sepanyol yang tidak bersetuju, tetapi hari ini, di Brazil, Sepanyol dikenali sebagai negara perkauman. Malangnya, untuk semua yang berlaku setiap minggu, saya tidak mempunyai cara untuk mempertahankannya."
Liga Sepanyol berkata mereka "proaktif dalam menghadapi semua insiden perkauman" membabitkan Vinicius yang dibuang padang pada perlawanan semalam.
La Liga berkata mereka sedang menyiasat apa yang berlaku di Mestalla dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya jika jenayah perkauman itu dikesan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... liga-liga-perkauman |
|