CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 193|Reply: 1

[Pulau Pinang] 4,000 nelayan sertai himpunan tolak projek tambakan di Pulau Pinang

[Copy link]
Post time 14-5-2023 06:39 PM | Show all posts |Read mode
4,000 nelayan sertai himpunan tolak projek tambakan di Pulau Pinang


Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mei 14, 2023 @ 3:43pm bhnews@bh.com.my






BAYAN LEPAS: Kira-kira 4,000 ahli Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) selain wakil nelayan dari Kedah dan Perak menyertai himpunan membantah projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) di hadapan Pasar Nelayan Sungai Batu di sini, hari ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar, berkata pihaknya konsisten membantah projek terbabit demi melindungi kawasan berteluk paling luas di negeri ini.

Kawasan itu meliputi Gertak Sanggul sehingga ke Permatang Damar Laut yang kaya dengan hasil laut termasuk tempat pembiakan udang dan ikan.

Beliau menyuarakan kebimbangan rancangan pembinaan Pulau A yang dinamakan Pulau Silikon dengan keluasan 920 hektar akan menutup kawasan berteluk berkenaan kira-kira 45 peratus.

"Kawasan berteluk itu begitu luas sejauh lebih 10 kilometer dan ia terlindung daripada angin Barat Daya jadi keadaan lautnya tenang dan kawasan itu menjadi tumpuan nelayan termasuk dari Kedah dan Utara Perak kerana dilimpahi hasil tangkapan yang tidak putus-putus

"Keadaan ini berbeza dengan Teluk Bahang yang selain kawasan teluknya lebih kecil ia terdedah tiupan angin Barat Daya menyebabkan ombak bergulung. Walaupun angin itu sudah tiada, ombak masih kekal bergulung kadang-kadang empat atau lima hari sehingga seminggu menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut," katanya kepada pemberita.

Arshad turut tidak bersetuju dengan pandangan seorang nelayan pro PSI yang menyatakan selagi ada arus, ikan akan terus membiak sebaliknya beliau menegaskan hidupan laut tidak akan dapat membiak jika habitatnya kotor dan berlumpur.

"Ikan boleh membiak dengan syarat arusnya bersih tetapi melihat kesan tambakan sebelum ini membabitkan (STP) Seri Tanjung Pinang kalau kita labuh pukat melekat selut hitam kalau begitu keadaannya bagaimana ikan nak membiak?" katanya.

Sementara itu, Pengerusi PEN Mutiara, Ibrahim Che Ros, berkata pihaknya dimaklumkan pengambilan pasir untuk projek berkenaan akan dijalankan di dua lokasi iaitu 10 batu nautika dari barat Pulau Kendi meliputi kawasan berkeluasan 30 kilometer persegi.

Satu lagi lokasi terlibat dianggar sejauh 20 hingga 40 batu nautika dari selatan Pulau Kendi membabitkan kawasan seluas 90 kilometer persegi dengan kedua-dua lokasi berkenaan adalah lokasi nelayan menahan pukat.

"Seandainya mereka mengambil pasir di sana, kawasan itu sangat luas dan juga tempat nelayan menahan pukat jadi kami sangsi jika pihak pelaksana projek dapat mengawal selut, mendapan tanah dan sebagainya di kawasan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim menyangkal dakwaan pihaknya mengugut membatalkan elaun sara hidup dan subsidi minyak ahli PEN Mutiara yang tidak menghadiri himpunan hari ini.

"Ketua Unit Nelayan tiada kuasa menyekat elaun sara hidup atau subsidi minyak ini tertakluk di bawah kelulusan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) jadi maklumat itu tidak benar," katanya.

Terdahulu, perhimpunan aman yang berlangsung hampir dua jam itu turut disertai Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader; Presiden Sahabat Alam Malaysia, Meenakshi Raman; Naib Presiden Penang Heritage Trust, Khoo Salma Nasution selain penduduk setempat.

Khamis lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pembatalan pembinaan Pulau A dan B seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Mei lalu dengan pengurangan keluasan membabitkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada sebuah pulau sahaja.




Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar berucap pada perhimpunan aman, bagi membantah Projek Tiga Pulau Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dianjurkan di Pantai Sungai Batu, Teluk Kumbar hari ini. - Foto NSTP/MIKAIL ONG










Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 14-5-2023 06:40 PM | Show all posts

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 12:40 AM GMT+8 , Processed in 0.050987 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list