View: 173|Reply: 0
|
Kes Dijadual Jumaat, Rosmah Fail Representasi
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan representasi kepada Pejabat Peguam Negara berhubung tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya, menjelang perbicaraan yang dijadual Jumaat ini.
Peguam bela Rosmah, Geethan Ram Vincent, mengesahkan representasi itu difailkan isteri kepada bekas Perdana Menteri itu pada 2 Mei lalu.
"Saya boleh mengesahkan representasi itu dibuat, tetapi belum ada jawapan diterima mengenainya," katanya seperti dilaporkan FMT.
Perbicaraan selama 15 hari dijadualkan bermula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy pada Jumaat ini.
Seorang timbalan pendakwa raya yang enggan dinamakan, berkata tidak dapat dipastikan sama ada perbicaraan yang akan diadakan Jumaat itu akan berjalan seperti dijadualkan.
"Kami menunggu arahan Pendakwa Raya," katanya.
Representasi lazimnya dibuat bagi memohon menarik balik atau mengurangkan tuduhan terhadap seseorang tertuduh.
Pada 23 Mac lalu, pendakwaan memaklumkan 13 saksi bakal dipanggil untuk memberi keterangan terhadap Rosmah.
Rosmah yang juga isteri kepada Datuk Seri Najib Razak, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Dia berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.
Sumber: BH Online |
|
|
|
|
|
|
| |
|