|
Miri: Lelaki ditemui meninggal dunia di Jalan Kwangtung di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan orang awam mengenai lelaki yang terbaring tidak sedarkan diri di kawasan itu pada 5.10 pagi.
Katanya, sepasukan anggota Balai Polis Pusat Miri bergegas ke lokasi dan pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Miri. Mayat dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alexson berkata, siasatan di tempat kejadian tidak menemui unsur jenayah dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan atau menghubungi Inspektor Nixon Malang 016-8865949.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.
Sumber: Harian Metro |
|