|
Kuala Lumpur: Peniaga sayur hari ini mengakui berlakunya penurunan harga timun dan tomato sejak seminggu yang lalu.
Peniaga sayur, Zuhairi Mohd Ali, 51, berkata, dia kini menjual timun pada harga sekitar RM2.50 hingga RM3 sekilogram sejak seminggu lalu.
"Harga timun kini sudah turun. Sewaktu bulan puasa harganya sekitar RM5 ke RM6. Separuh harga juga turun.
Keadaan semasa harga timun dan tomato di pasar Chow Kit.
"Mungkin harga timun ini turun disebabkan stok banyak dan gred kurang cantik, jadi lagi murah," katanya ketika ditemui Harian Metro di Pasar Chow Kit hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL) dilapor berdepan lambakan timun sejak akhir bulan lalu hingga menyebabkan kira-kira enam tan timun terpaksa dibuang setiap hari.
Dalam pada itu, Zuhairi berkata, faktor lain penurunan harga timun adalah disebabkan permintaan orang ramai.
"Musim orang ramai nak beli barang banyak (harganya naik). Macam ini sudah kurang orang beli, jadi harganya murah," katanya.
Dia yang sudah tiga tahun berniaga berkata, berkemungkinan harga timun sekitar RM2.50 sehingga RM3 ini akan kekal sehingga pertengahan tahun ini.
Bagi tomato, dia berkata, kini menjual pada harga RM4 sekilogram berbanding sebelum raya pernah menjual pada harga RM8.
"Sebelum ini pernah naik sampai RM8 sekilogram. Ini baru turun dan harganya ok," katanya.
Seorang lagi peniaga sayur, Sam Shamsul Bahri, 28, pula berkata, timun yang dijualnya kini pada harga sekitar RM4 hingga RM5 sekilogram.
"Harga timun sudah stabil dalam seminggu ini," katanya yang sudah dua tahun berniaga di sini.
Dia yang tinggal di Kampung Baru berkata, bagi harga tomato, berlakunya penurunan yang mendadak dan menjualnya pada harga RM5 sekilogram.
Katanya, bulan lalu, dia menjual tomato pada harga RM10 sekilogram.
"Tomato baru turun RM5 sekilogram. Bulan lalu pembekal jual mahal dan dia berkata Cameron Highlands tidak mempunyai stok tomato," katanya.
Sumber: Harian Metro |
|